KAKITANGAN awam, Nurul Huda Abdul Ghafar melakukan kerja dari rumah sambil ditemani anaknya, Muhammad Affan Ziqri.
KAKITANGAN awam, Nurul Huda Abdul Ghafar melakukan kerja dari rumah sambil ditemani anaknya, Muhammad Affan Ziqri.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Fenomena bekerja dari rumah (BDR) dijangka dapat mengurangkan kos operasi syarikat berikutan membabitkan penyumberluaran ruang kerja pekerja ke rumah, sekali gus turut mempengaruhi produktiviti.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, BDR bukan fenomena baharu pada abad ke-21 kerana ia sudah diamalkan secara meluas di negara maju.

Katanya, bagaimanapun, BDR harus dirancang dengan teliti kerana ia hanya berfungsi secara optimum untuk beberapa kumpulan pekerja dan hanya untuk beberapa sektor sahaja.

"Jika BDR ini ingin dijadikan amalan berterusan di dalam ekonomi, ada beberapa faktor yang perlu diteliti bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan dasar BDR.

"Pertama, peranti dan akses internet adalah keperluan kepada BDR kerana ia adalah keperluan yang menghubungkan segmen BDR dan operasi perniagaan kerana tidak semua pekerja BDR dilengkapi dengan peranti dan mempunyai akses internet yang serupa seperti mana di pejabat. Ini belum lagi diambil kira faktor keluasan ruang rumah.

"Kedua, BDR hanya terpakai kepada jenis pekerjaan tertentu sahaja dan hampir mustahil bagi rata-rata pekerja yang beroperasi di barisan pembuatan, melayani pelanggan di kapal persiaran atau menuai tanaman di ladang komersial untuk tetap bekerja dengan baik dan bekerja secara produktif jauh dari lokasi pekerjaan utama mereka.

"Ketiga, BDR 'mesra' kepada pekerja berkolar putih dan amalan BDR lebih meluas dalam kumpulan berpendapatan tinggi, berpendidikan tinggi, pekerjaan bergaji dan mempunyai lindungan keselamatan sosial.

"Pekerja bergaji rendah, bekerja sendiri dan sektor tak formal didapati cenderung kepada amalan konvensional.

"Keempat faktor demografik buruh kemungkinan generasi millenial dan generasi muda di era moden menikmati dan memilih kemudahan BDR terutama yang bekerja di sektor tak formal. Pekerja generasi yang lebih tua berkemungkinan lebih menghargai fleksibiliti dan memilih BDR," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sepanjang tempoh Covid-19, berlaku peningkatan ketara amalan BDR ini dan sejarah juga membuktikan BDR sudah diamalkan seawal revolusi industri akhir abad ke-19.

Beliau berkata, contohnya sebahagian daripada jumlah bekalan produk Britain seperti paku dan rantai dihasilkan dari kediaman di sekitar Birmingham.

"BDR ini adalah salah satu contoh fenomena kitaran ekonomi di mana amalan tradisional dipraktikkan semula dalam konteks ekonomi moden.

"Jika BDR ingin diamalkan secara berterusan, terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilihat secara menyeluruh antaranya ialah lindungan keselamatan sosial pekerja BDR, aspek percukaian dan undang-undang berkaitan buruh dan kediaman serta sistem sokongan adalah antara contoh perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:48 AM