HARI pekerja
HARI pekerja
Syarifah Dayana Syed Bakri

ADA yang memanggilnya Hari Buruh namun, ada yang menyebutnya sebagai Hari Pekerja. Jika ditanya apakah perkara utama yang terlintas di fikiran jika disebut mengenai sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei setiap tahun, pasti ada yang mengaitkannya dengan cuti umum.

Cuti umum untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga. Pastinya ini berlaku pada zaman pra-Covid-19.

Hari Buruh wujud untuk memperingati perjuangan buruh yang menuntut hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri di barat berkembang pesat.

Ketika itu, ekonomi bergantung harap kepada pemodal kapitalis atau pemilik industri serta menjadikan kerajaan dilihat lemah kerana membiarkan pasaran bergerak sendiri menerusi amalan pasaran bebas atau laissez faire yang menghalang campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi.

Kesannya pemodal menguasai ekonomi dan mengambil kesempatan ke atas pasaran buruh dengan mengeksploitasi mereka supaya bekerja lebih masa pada kadar upah rendah untuk 'meroketkan' keuntungan.

Pada masa itu, buruh dipaksa bekerja 16 jam hingga 19 jam sehari tanpa cuti.

Ia menjadi lebih serius apabila pemilik perniagaan sanggup menggunakan buruh wanita dan kanak-kanak.

Kemuncak kepada perjuangan buruh itu dikaitkan dengan Rusuhan Haymarket (Haymarket Riot) di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Mei 1886.

Ia menyaksikan pekerja mengadakan mogok aman untuk menuntut hak mereka yang berakhir dengan tragedi.

Kerana itu wujudnya Hari Buruh Antarabangsa atau May Day yang kemudian ditetapkan tarikh 1 Mei sebagai Hari Buruh.

Namun, selepas lebih 100 tahun kita menyambut Hari Buruh, tahun ini nampaknya keadaan jauh berbeza.

Jika tahun lalu ada di kalangan kita masih bergelar pekerja, namun selepas munculnya Covid-19 tahun ini, ada di antara kita terpaksa 'bersara awal' kerana syarikat tidak lagi mampu menanggung kos pekerja.

Pandemik Covid-19 yang masih belum 'jinak' ini bukan saja menyerang kesihatan manusia namun, ia turut menyakitkan ekonomi dunia.

Berdasarkan laporan AFP pertengahan April lalu, Amerika Syarikat mencatatkan kes pengangguran luar biasa dengan 22 juta individu dilaporkan hilang pekerjaan sejak pertengahan Mac berikutan pandemik Covid-19.

Ia berbeza dengan tempoh sama tahun lalu di mana hanya 203,000 individu kehilangan kerja dan tampil memohon manfaat pengangguran.

Bunyinya seakan-akan senada dengan yang berlaku di Malaysia apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati 46.6 peratus daripada 168,182 individu yang bekerja sendiri dilaporkan hilang pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan itu diperoleh menerusi responden berumur 15 tahun ke atas yang menyertai Survei Khas Kesan Covid-19 terhadap Ekonomi dan Individu (Pusingan 1).

Berdasarkan survei itu, hampir separuh iaitu 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan 9 daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa.

Dapatan survei khas ini menunjukkan sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain kesan daripada penularan Covid-19, masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15 peratus.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membenarkan sektor yang sudah mendapat kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP meneruskan kerja dalam kapasiti penuh dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Walaupun ada pihak kurang senang dengan langkah ini kerana bimbang virus Covid-19 terus menular, namun ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka bergelar pekerja.

Kilang beroperasi, ada kerja, adalah gaji. Tetapi, ia tidak mewakili semua industri. Mereka yang bekerja dalam sektor seperti pelancongan dan hospitaliti contohnya, mungkin masih tercari-cari arah kerana syarikat tidak dapat menjana pendapatan.

Ada yang diminta bercuti tanpa gaji, ada yang diberi gaji setengah bulan dan ada yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan.

Masih adakah makna tarikh 1 Mei kepada mereka ini?

Tema Hari Pekerja tahun ini iaitu Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa kita pasti perlu berdepan norma baharu dalam kehidupan seharian sama ada di rumah atau di tempat kerja.

Ia juga mungkin membawa makna normal baharu ini berupaya menjadikan kita lebih kuat dan kreatif mengurus hidup.

Mungkin juga normal baharu ini memberi peluang kita menjana wang tanpa perlu bergelar buruh atau pekerja. Semuanya tidak mustahil.

Peganglah ayat Allah dari Surah Al-Talaq ayat 3 - Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah mencukupkan (keperluannya).

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:00 AM