Saravanan.
Saravanan.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji sama ada konsep bekerja dari rumah (BDR) boleh diamalkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata ia bagaimanapun akan membabitkan sesetengah sektor sahaja iaitu yang membabitkan prestasi pekerjanya boleh diukur.

Katanya, pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu memberi budaya baharu kepada ramai rakyat di negara ini, apabila ramai pekerja dan majikan mengamalkan BDR.

"Kita dapati dalam sektor tertentu, walaupun bekerja dari rumah, ia masih berjaya.

"Perkara ini boleh dicadangkan kepada sesetengah sektor yang kita lihat berjaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan 365 Hari Pencapaian Menteri Sumber Manusia, di kementeriannya, hari ini.

Saravanan yang mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, berkata kejayaan BDR juga bergantung kepada keikhlasan pekerja.

Katanya, ia berikutan, apabila budaya BDR diamalkan sejak tahun lalu, ada juga dalam kalangan pekerja mengambil kesempatan.

Selain itu, katanya BDR juga dilihat boleh mengurangkan kos.

Semalam, Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Wanita 2021 peringkat Kebangsaan, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia diminta mengkaji kesesuaian memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif itu antara lain membolehkan kakitangan awam dan swasta menjaga ahli keluarga yang uzur atau sakit atau memberi sokongan kepada isteri menjaga anak yang baru lahir, sekaligus menggalakkan rasa tanggungjawab bersama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 3:38 PM