KARNIVAL Usahawan Desa di Putrajaya, tahun lalu. Bagi tahun ini, karnival itu diadakan secara maya. FOTO arkib NSTP
KARNIVAL Usahawan Desa di Putrajaya, tahun lalu. Bagi tahun ini, karnival itu diadakan secara maya. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan acara jualan mega Karnival Usahawan Desa secara dalam talian 2020 (eKUD@KPLB 2020) selama tiga hari bermula semalam, mampu menjana jualan bernilai RM5 juta.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, acara eKUD@KPLB 2020 yang mengetengahkan jualan kira-kira 1,400 produk usahawan desa adalah inisiatif serta keprihatinan kerajaan membantu usahawan terbabit memasarkan produk melalui platform digital.

"Ini adalah penganjuran pertama ekoran penularan Covid-19. Kita perlu fikir bagaimana untuk memeriahkan dan mewujudkan satu platform pemasaran dan meluaskan potensi produk luar bandar yang mempunyai standard antarabangsa," katanya pada sidang media berhubung acara itu di sini, hari ini.

Menurut Abdul Latiff, eKUD@KPLB 2020 membabitkan lebih 300 gerai pempamer secara maya merangkumi pelbagai kategori seperti pavilion, agensi kerajaan, korporat dan eNiaga untuk para usahawan.

Selain itu, sebanyak 145 sesi pertemuan secara dalam talian bagi padanan perniagaan turut dijadualkan sepanjang penganjuran eKUD@KPLB 2020.

"Program ini membolehkan usahawan luar bandar berkomunikasi dengan pembeli dari dalam serta luar negara menerusi platform digital eKUD@KPLB 2020," katanya.

Beliau berkata, antara pihak industri peruncitan yang terlibat adalah Petronas Dagangan Berhad, Tesco, TF Value-Mart serta Lulu Hypermarket.

"Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia melalui 'eSellers Sourcing Programme' (eSSP) juga telah mempelawa platform Droppe, Blibli dan Bukalapak bagi pasaran Indonesia serta Figurative Japan bagi pasaran Jepun untuk turut menyertai sesi tersebut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:32 PM