CHE Murad ketika mengunjungi reruai DesaMall@KPLB pada MAHA 2022. FOTO Ihsan KPLB
CHE Murad ketika mengunjungi reruai DesaMall@KPLB pada MAHA 2022. FOTO Ihsan KPLB
Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasar perolehan jualan sebanyak RM1 juta menerusi pelaksanaan program DesaMall@KPLB selaku pusat pengumpulan dan pameran produk usahawan luar bandar dengan penambahan 1,000 produk pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, sebanyak RM3 juta dibelanjakan pada tahun ini bagi membiayai pelbagai program sokongan untuk usahawan luar bandar khususnya melatih mereka menerokai bidang pemasaran digital di bawah program DesaMall@KPLB.

"Program Desamall@KPLB itu dilaksanakan bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara atas talian melalui platform e-dagang sekali gus memperluas rangkaian perniagaan di samping meningkatkan hasil jualan 10 hingga 30 peratus setahun.

"Sejajar hasrat itu, KPLB menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Shopee, Lazada, CJ Wow Shop, eBay, Grab Malaysia dan Foodpanda Malaysia," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar Siri 2 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.

Che Murad berkata, sejak diperkenalkan pada Oktober 2017, jumlah jualan terkumpul berjumlah RM4.33 juta setakat 30 Jun lalu dengan sebanyak 27,555 unit simpanan stok (SKU) di semua platform e-dagang melibatkan lebih 4,000 usahawan berdaftar.

Katanya, melalui DesaMall@KPLB, usahawan luar bandar hanya perlu memberi tumpuan kepada penghasilan serta penambahbaikan produk bagi memenuhi pesanan manakala urusan lain seperti mengurus pesanan, penghantaran dan urusan pembayaran pelanggan diuruskan pentadbir program iaitu syarikat Elokal Sdn. Bhd.

Terdahulu, beliau berkata, Program Pendigitalan Usahawan dirangka relevan dengan trend perniagaan semasa dengan pembabitan kira-kira 300 usahawan luar bandar dari Wilayah Utara sekali gus meningkatkan potensi dan peluang memasarkan produk dalam pelbagai platform.

Menurutnya, program itu turut membabitkan kerjasama jabatan dan agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 5:52 PM