MALAYSIA tidak mengalami krisis kewangan dan mempunyai aset kukuh walaupun pandemik Covid-19 mungkin berlarutan dalam tempoh panjang.
MALAYSIA tidak mengalami krisis kewangan dan mempunyai aset kukuh walaupun pandemik Covid-19 mungkin berlarutan dalam tempoh panjang.
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Hayati Ibrahim

Putrajaya: Malaysia tidak perlu meminjam dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) walaupun pandemik Covid-19 mungkin berlarutan dalam tempoh panjang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, negara sentiasa bersedia untuk senario terburuk sekiranya berlaku dan tidak akan sesekali meminjam dari badan dunia itu.

"Tidak, itu kalau aset kita semua sudah tiada. (Tetapi) ketika ini, kedudukan kita jauh dari itu," katanya pada temubual khas bersama Harian Metro, BH dan NST di pejabatnya di sini.

Tengku Zafrul berkata, walaupun berdepan krisis kesihatan, tetapi negara tidak mengalami krisis kewangan dan pihak bank masih boleh memberi pinjaman.

Justeru, katanya, sekiranya berlaku gelombang besar Covid-19 sekali lagi di seluruh negara, kerajaan tiada pilihan lain kecuali berbelanja untuk membantu rakyat.

"Jadi, kita perlu meminjam. Kita mempunyai wang dalam pasaran tempatan, namun sekiranya berlaku senario terburuk kita mungkin meminjam di peringkat antarabangsa, jual aset atau apa saja untuk selamatkan rakyat.

"Negara masih memiliki banyak aset, tetapi adalah lebih murah untuk meminjam kerana kadar faedah semasa yang rendah, iaitu 1.75 peratus dan kecairan dalam pasaran domestik. Kita tidak sentuh pun aset negara ketika ini. Sejumlah 97 peratus hutang negara ketika ini adalah dalam mata wang tempatan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, had maksimum hutang kerajaan belum mencapai 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di mana ketika ini berada sekitar paras 55 peratus.

"Kenaikan 1.0 peratus bermakna RM15 bilion, jadi kita (ada ruang) 5.0 peratus lagi atau RM75 bilion. Bagi sasaran defisit kita tahun ini kenaikannya sudah hampir sekali ganda, pada tahun lalu ia adalah 3.4 peratus dan saya rasa tahun ini ia sekitar 6.0 peratus, ia dalam jangkaan.

"Mengenai nisbah hutang, ia bergantung kepada KDNK. Jika KDNK naik, maka defisit akan turun kerana asas ekonomi menjadi lebih besar. Jadi pada tahun hadapan unjuran KDNK berdasarkan BNM adalah 5.5 hingga 8.0 peratus.

"Terdapat risiko kalau asasnya susut, maka defisit akan meningkat. Ekonomi pada suku ketiga (tahun ini) adalah baik, namun prestasi suku keempat akan bergantung kepada berapa lama kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"PKPB ketika ini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Selangor dan Sabah mewakili kira-kira 47 peratus daripada KDNK Malaysia tahun lalu, jadi hampir 50 peratus penyumbang KDNK berada dalam kawasan PKPB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:30 AM