Presiden RBV, Aireen Omar
Presiden RBV, Aireen Omar
BERNAMA

SELEPAS berjaya melakukan transformasi sebagai syarikat gaya hidup digital, Kumpulan AirAsia kini merancang untuk memperluas pengetahuannya kepada masyarakat melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang dapat membantu meningkatkan kumpulan tenaga kerja negara.

Program itu, yang diperkenalkan oleh RedBeat Academy dan pada masa ini hanya untuk kakitangan dalaman AirAsia, akan membantu melengkapi pekerja dengan kemahiran digital baharu dan menjadi tenaga kerja bertaraf dunia.

RedBeat Academy adalah kerjasama antara cabang perusahaan korporat Kumpulan AirAsia, RedBeat Ventures Sdn Bhd (RBV) dan Google.

Presiden RBV, Aireen Omar berkata, normal baharu berikutan pandemik Covid-19 telah mendorong semua pihak untuk memulakan pendigitalan, iaitu pekerja yang kekurangan kemahiran teknologi akan mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan era digital dan akhirnya akan ketinggalan.

Beliau berkata, RedBeat Academy menyediakan kokurikulum bertaraf dunia untuk mengajar tenaga kerja yang bukan teknologi mengenai apa yang diperlukan untuk bertahan dalam ekonomi digital selain menggalakkan mereka untuk menjadi inovatif.

"Kami tidak boleh menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia yang celik digital, kerana jika anda mahu ekonomi berkembang dalam persekitaran digital, setiap penggiat ekonomi juga perlu seperti itu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Tenaga kerja tidak bermakna anda perlu mendapatkannya hanya dari luar syarikat, tetapi sumber semasa anda boleh dibentuk semula dan dilatih semula, dan kami adalah contoh yang baik tentang bagaimana (transformasi) dapat dilakukan.

"Kandungan kami di RedBeat Academy akan sentiasa relevan, melihat ke arah masa depan mengenai (jenis) teknologi, untuk membantu orang ramai mendapat inspirasi, selain memikirkan cara baharu dan melakukan inovasi," katanya kepada Bernama.

Aireen berkata program latihan semula dan meningkatkan kemahiran boleh didapati tidak lama lagi untuk individu dan usahawan, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, dan turut terbuka kepada syarikat yang mahu mendigitalkan syarikat mereka seperti yang dilakukan oleh AirAsia.

Selain kursus itu, PKS akan turut diberikan penyelesaian yang menyeluruh, iaitu mereka akan mendapat peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di platform digital AirAsia dan Ourshop.

Mengenai masa depan, beliau berkata Redbeat Ventures telah merangka beberapa pelan besar untuk RedBeat Academy memacu selain memberikan pengetahuan digital.

Beliau menyasarkan RedBeat Academy akan menjadi syarikat teknologi pendidikan yang menarik pada masa depan, menawarkan kursus meliputi lebih daripada hanya subjek teknologi seperti kepimpinan, penjenamaan dan kemahiran kreatif.

"Sudah tentu, kami perlu bekerjasama dengan universiti tertentu, supaya RedBeat Academy boleh mendapat kelayakan dan akreditasi dalam subjek tertentu.

"Terdapat banyak perkara yang dilakukan oleh AirAsia, kami mempunyai kekuatan tertentu. Oleh itu, mengapa tidak kami berkongsinya dengan orang lain dan membantu mereka dilatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 6:55 AM