Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) menerima Anugerah Emas bagi Pembangunan Siswazah dan Gangsa (Pembangunan Kepimpinan) sempena Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2014, kelmarin.

Anugerah itu mengiktiraf organisasi dari segi kemantapan serta efektif Jabatan Sumber Manusia dan amalan pengurusan pekerja dalam memenuhi keperluan dan pertumbuhan perniagaan, pekerja, industri dan negara.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan kepada kakitangan Media Prima supaya terus menghasilkan idea baru dan menarik.

“Kejayaan ini membolehkan Media Prima menjadi sumber rujukan utama untuk kandungan yang berkualiti dan menerima anugerah.

“Kami bangga program pembangunan kami dapat membantu mengurus melahirkan bakat dan mencapai potensi penuh mereka.

“Selain daripada pembangunan bakat, Media Prima akan terus memberi penekanan kepada cara untuk meningkatkan lagi keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat dalam organisasi,” katanya.

Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2014 ini dianjurkan Majalah Human Resources, bertujuan untuk memberi penghormatan dan penghargaan amalan sumber manusia yang luar biasa dan menyediakan ruang bagi pengamal sumber manusia meraikan pencapaian mereka.

Majalah terkemuka Singapura itu menyediakan kajian kes mendalam, ciri dan kemas kini mengenai industri sumber manusia.

Sementara itu Pengurus Besar Kumpulan, Sumber Manusia MPB Nor Arzlin Redzwan berkata, Media Prima akan terus melaksanakan idea yang dipacu oleh teknologi kreatif dan amalan terbaik industri dalam Jabatan Sumber Manusia dan inisiatif penglibatan pekerja.

“Kami sangat berbesar hati kerana diiktiraf dalam Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia menerusi amalan sumber manusia kami.

“Kami komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang terbaik dan peluang pembangunan kerjaya bagi semua kakitangan,” katanya.

Kecemerlangan dalam kategori Pembangunan Siswazah memberi penghormatan kepada syarikat yang menggunakan pelan pembangunan suara siswazah bermula dari penilaian pengambilan pekerja, latihan dan proses penilaian prestasi kerja lulusan graduan.

Bagi kategori Pembangunan Kepimpinan ia mengiktiraf inisiatif kepemimpinan disediakan untuk kakitangan tidak hanya melalui latihan berasaskan bilik darjah, tetapi juga melalui sesi perkongsian dengan pemimpin sebenar dalam organisasi sama ada dalam negara mahupun ikon global dengan niat untuk mempercepatkan tahap kesediaan setiap peringkat kepimpinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:10 AM