Kuala Lumpur: Kerajaan melancarkan Geran Kembali Berkerjaya dengan peruntukan RM10 juta sebagai galakan kepada majikan menarik semula wanita yang berhenti kerja sementara, kembali ke bidang profesional.

Geran baru itu diletakkan di bawah pengurusan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim, semalam.

Jelas Rohani, geran baru itu sebahagian daripada inti pati agenda nasional untuk meningkatkan penyertaan wanita di tempat kerja.

“Bagi KPWKM dan TalentCorp, kita bukan saja mahu memberi peluang kepada wanita kembali bekerja, tapi menggalakkan majikan melaksanakan program merekrut serta mengekalkan wanita yang berhenti kerja sementara.

“Inisiatif ini dijangka dapat menyokong majikan memenuhi keperluan modal insan berkualiti serta meningkatkan kepelbagaian di tempat kerja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kembali Berkerjaya di Bangsar South, di sini.

Katanya, program itu membawa manfaat besar memandangkan ramai wanita muda bekerja di bidang profesional hari ini terpaksa meninggalkan kerjaya demi keluarga dan anak-anak.

“Menurut kajian KPWKM, dua daripada setiap tiga wanita berusia antara 25 dan 39 tahun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak. Sedangkan itu adalah usia penting dalam pembangunan kerjaya seseorang.

“Kita mahu syarikat turut serta memanfaatkan geran ini, seterusnya menggaji ramai wanita berpotensi untuk menyokong pembangunan modal insan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:06 AM