PUSAT 4S terbaharu Toyota di Muar, Johor.
PUSAT 4S terbaharu Toyota di Muar, Johor.

UMW Toyota Motor (UMWT) membuka pusat jualan, servis, alat ganti, badan dan cat (4S) terbaharu di Muar, Johor melalui pengedarnya ES Yang Motor Sdn Bhd.

Presidennya, K Ravindran berkata, penyediaan pusat servis itu untuk memudahkan pengguna Toyota di dearah itu mendapatkan segala yang diperlukan di bawah satu bumbung.

"ES Yang Motor memulakan perniagaan pada 1993 dengan tiga cawangan kini digabungkan menjadi satu pusat 4S yang memenuhi standard daripada Toyota Motor Corporation khususnya bagi operasi badan dan cat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, cawangan terbaharu yang dibuka itu mempunyai 66 pekerja khusus untuk aktiviti jualan dan servis dengan 12 ruang penyelenggaraan yang mampu menampung 33 kenderaan sehari.

Ia juga dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu yang selesa, makanan ringan dan wiFi percuma.

Pusat servis 4S ini yang terletak di Jalan Dato Haji Kosai, Muar dibuka dari Isnin hingga Sabtu dengan waktu operasi bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang.

Buat masa ini semua pusat jualan dan servis Toyota di seluruh negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan proses sanitasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:58 AM