PENJANA menjadi dorongan yang amat diperlukan untuk memulihkan pendapatan dan gaya hidup.
PENJANA menjadi dorongan yang amat diperlukan untuk memulihkan pendapatan dan gaya hidup.

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan peningkatan 20 peratus sumbangan kepada ekonomi digital tahun ini walaupun berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19.

Unjuran pertumbuhan itu dicapai melalui penyertaan aktif daripada pelbagai rakan ekosistem melalui inisiatif berterusan.

Malah, MDEC berpotensi melihat jangkaan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat sehingga RM170 bilion untuk tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, orang ramai, perniagaan dan komuniti yang mahu terbabit dalam ruang digital, perlu mengambil peluang ini tanpa mengira latar belakang serta sifat perniagaan.

"Penjana menjadi dorongan yang amat diperlukan untuk memulihkan pendapatan dan gaya hidup, ia menyediakan bantuan bagi kita untuk mengatasi cabaran semasa dan melihat masa depan dengan penuh yakin," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, peruntukan kerajaan RM700 juta di bawah Penjana untuk merangsang ekonomi digital meningkatkan keyakinan, khususnya dalam melonjak fasa permulaan ketika PKP Bersyarat (PKPB) sehingga memasuki fasa pemulihan atau PKP Pemulihan (PKPP).

Melalui Penjana, pinjaman di bawah peruntukan Geran Padanan Pendigitalan PKS RM100 juta, Dana Transformasi Teknologi PKS RM500 juta (permohonan dibuka bulan hadapan) dan inisiatif Geran Automasi Pintar RM100 juta yang diumumkan sebelum ini diperkemaskan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, MDEC bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti cara mengesan dan menilai dalam memastikan lebih 907,065 PKS di Malaysia mendapat manfaat daripada insentif ini.

"Setakat ini, inisiatif pendigitalan PKS MDEC diperkukuhkan dengan sejumlah 230 penyedia penyelesaian teknologi termasuk 595 penyelesaian digital dan teknologi untuk menyokong lebih daripada 200 PKS.

"Manakala di bawah program 100 Go Digital MDEC, pihak perbadanan membabitkan lebih 100,000 PKS di seluruh negara dengan sokongan 12 rakan industri," katanya.

Sementara itu, katanya, pasukan e-dagang MDEC masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (KKM) untuk memuktamadkan pelaksanaan pelan kempen Shop Online Malaysia.

Kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai membeli-belah dalam talian dengan menawarkan kod promosi termasuk pelbagai baucar diskaun melalui platform e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 7:15 AM