HM Digital

Kuala Lumpur: Industri telekomunikasi negara komited menawarkan beberapa insentif kepada orang ramai bagi memudahkan perhubungan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata antara insentif itu termasuk penawaran akses tanpa had untuk panggilan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Di samping itu, katanya syarikat telekomunikasi menyediakan talian tambahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM bagi memastikan perkhidmatan agensi ini beroperasi pada tahap optimum, sekali gus membolehkan penyaluran maklumat penting kepada rakyat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dan situasi semasa wabak COVID-19.

“Penyedia perkhidmatan juga telah menyediakan inisiatif masing-masing dan butiran lanjut mengenainya akan diumumkan oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Saifuddin menjelaskan, syarikat telekomunikasi juga mewujudkan pelan kesinambungan perniagaan untuk memastikan rangkaian, aplikasi dalam talian dan perkhidmatan pelanggan beroperasi seperti biasa biarpun negara sedang berhadapan de­­ngan wabak COVID-19.

Katanya, usaha yang dilaksanakan juga untuk memastikan keupayaan rangkaian komunikasi mencukupi serta mengukuhkan prestasi rangkaian menampung peningkatan penggunaan di sekitar lokasi kritikal umpamanya klinik, hospital, balai polis dan pejabat kerajaan.

“Ini akan membolehkan rakyat di negara ini terus mendapat akses perkhidmatan untuk berkomunikasi, menjalankan perniagaan, selain mendapatkan maklumat dari sistem penyampaian kerajaan, sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Ia juga membuktikan komitmen syarikat telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier dalam memastikan perkhidmatan perlu dapat terus disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Untuk itu, katanya beliau ingin

merakamkan penghargaan kepada pihak industri telekomunikasi, penyiar, serta postal dan kurier yang tampil dengan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat sepanjang tempoh ini.

“Ucapan terima kasih saya ditujukan kepada syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, TIME Dotcom, Tune Talk, U Mobile, Webe, XOX dan YES. Komitmen anda semua dalam membantu rakyat dalam detik sukar ini wajar dicontohi oleh pihak lain.

“Terima kasih turut saya ucapkan kepada Pos Malaysia dan syarikat kurier seperti GDEX, City-Link dan J&T Express atas usaha mereka meneruskan perkhidmatan penghantaran dengan mengurangkan sentuhan dan juga tanpa sentuhan demi keselamatan dan kesihatan pelanggan,” katanya.

Perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran, serta pos dan kurier antara perkhidmatan perlu yang disenaraikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa dari 18 sehingga 31 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 10:14 AM