FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
BERNAMA

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai eksport durian Musang King ke China pada tahun ini sebanyak RM50 juta walaupun wujud kebimbangan ia akan terjejas berikutan penularan wabak koronavirus di negara itu.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, nilai eksport durian itu pada tahun lalu sebanyak RM30 juta dan berharap koronavirus di negara itu akan berakhir tidak lama lagi.

Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan tempoh durian Musang King berbuah pada Julai, Ogos dan September.

“Kita popular dengan durian Musang King yang dieksport ke sana. (Pada masa ini) berlaku koronavirus, dan ia bukan pada musim Musang King (berbuah). Oleh itu, ia tidak memberi kesan (kepada eksport ke China).

“Saya yakin dan percaya peningkatan permintaan terhadap Musang King adalah luar biasa dan harga di sana juga amat menarik jika dibandingkan di sini antara RM40 dan RM90 sekilogram. Di sana, ia boleh dijual antara RM200 dan RM400 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan My Best Buy (MBB) Fama @ Le Tour De Langkawi (LTdL) di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, katanya jumlah pengunjung ke MBB adalah menggalakkan dan percaya rakyat di negara ini telah mengambil langkah proaktif untuk menghadapi koronavirus selain peniaga turut mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan dan jualan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:05 AM