QSR Brands menumpukan sebanyak 30 peratus kepada pembukaan restoran berkonsepkan pandu lalu.
QSR Brands menumpukan sebanyak 30 peratus kepada pembukaan restoran berkonsepkan pandu lalu.
Bisnes HM

KUMPULAN QSR Brands (M) Holdings dijangka menambah 15 lagi cawangan bagi rangkaian restoran makanan segera, KFC di seluruh negara pada tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, daripada jumlah itu, pihaknya akan menumpukan sebanyak 30 peratus kepada pembukaan restoran berkonsepkan pandu lalu.

“Alhamdulillah, walaupun dalam situasi ekonomi negara yang begitu mencabar, tahun lalu sahaja, kita sudah pun membuka sebanyak 30 cawangan restoran KFC di seluruh negara.

“Bagi tahun ini, kita menjangkakan 15 lagi cawangan restoran KFC dapat diwujudkan sehingga akhir tahun ini di mana 30 peratus daripadanya adalah berkonsepkan restoran pandu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Restoran Pandu Lalu KFC Pertama Perlis di Bandar Baru Kangar Jaya, Seriab di sini, semalam.

Mohamed Azahari berkata, selain itu, pihaknya melihat kerjasama dengan pemaju perumahan serta bandar baru juga dilihat membawa kepada pembukaan restoran berkenaan di banyak kawasan perumahan baharu dan bandar baharu di negara ini.

“Kolaborasi ini amat penting di mana pihak pemaju perumahan dan pemaju bandar baharu ini melihat dengan adanya jenama ikonik seperti KFC ini akan dapat menjana atau menarik orang ramai untuk tinggal atau membeli hartanah di komuniti berkenaan.

“Malah, di Perlis juga, kita turut mempunyai perancangan untuk menambah cawangan bagi jenama kita yang lain seperti Pizza Hut di mana kita melihat potensi untuk membuka satu lagi cawangan di kawasan Bandar Baru Kangar Jaya ini selewat-lewatnya akhir tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan lokasi cawangan restoran KFC pandu lalu di Bandar Baru Kangar Jaya juga dilihat sangat strategik.

“Ini adalah kerana ia terletak di pertengahan laluan antara Changlun ke Kuala Perlis.

“Selain itu, ia adalah sebuah kawasan yang sedang dibangunkan dan mempunyai kombinasi perumahan serta kawasan perniagaan komersial.

“Malah, lokasinya juga berada di pinggir bandar Kangar di mana ramai pembeli hartanah di Perlis kini lebih suka menumpukan hartanah di kawasan pinggir bandar dan kita percaya dengan adanya jenama KFC ini, ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan di kawasan Bandar Baru Kangar Jaya,” katanya.

Sementara itu, terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian restoran KFC Pandu Lalu di Bandar Baru Kangar Jaya, di sini.

Hadir sama, Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim serta barisan Exco negeri Perlis.

Untuk rekod, dengan pembukaan restoran KFC pandu lalu di Bandar Baru Kangar Jaya ini menjadikan Perlis mempunyai enam cawangan restoran berkenaan di mana tiga daripadanya di Kangar, dan masing-masing satu di Kuala Perlis, Arau dan Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:03 AM