Creed (lima dari kiri) bersama Lee (dua dari kiri), Mohamed Azahari Mohamed (empat dari kanan) dan Kubizniak (lima dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Creed (lima dari kiri) bersama Lee (dua dari kiri), Mohamed Azahari Mohamed (empat dari kanan) dan Kubizniak (lima dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
BERNAMA

QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali tunggal kepada lebih 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia hari ini melancarkan cawangan restoran KFC yang ke-700 di Bandar Sri Sendayan dekat Seremban, sebagai meneruskan strategi perluasannya ke seluruh negara.

Pembukaan KFC Bandar Sri Sendayan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yum! Brands Inc., Greg Creed.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation yang juga Pengerusi QSR Brands Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengarah Urusan QSR Brands Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts Holdings Bhd (MCHB) Datuk Lee Tian Hock.

Mohamed Azahari berkata, restoran KFC ke-700 ini adalah peristiwa penting kepada Kumpulan QSR Brands.

“Pembukaan restoran KFC di Bandar Sri Sendayan dengan kerjasama MCHB, pemaju Bandar Sri Sendayan melambangkan pertumbuhan yang positif serta optimis bagi QSR Brands melakar kejayaan seterusnya pada masa hadapan. “Pencapaian seperti ini menjadi tonggak kepada kami untuk terus mengorak penguasaan di dalam industri perkhidmatan restoran segera yang serba kompetitif ini," katanya.

Katanya, restoran KFC 24 jam yang baharu di Bandar Sri Sendayan mampu menampung sejumlah 170 pelanggan pada satu-satu masa serta dilengkapi dengan kemudahan pandu lalu.

Di samping itu, katanya, KFC Bandar Sri Sendayan dibina dengan teknologi penjimatan tenaga dan ciri mesra alam dengan sistem pengumpulan air hujan, pencahayaan LED, tiub lampu solar, lampu sensor gerakan dan kaca beremisi rendah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab syarikat terhadap kelestarian alam sekitar.

"QSR Brands sudah menjadi peneraju di dalam memenuhi permintaan komersial di Bandar Sri Sendayan apabila menandatangani kerjasama strategik bersama pemaju bandar berkenaan, MCHB pada November tahun lalu yang menghasilkan restoran KFC pertama di bandar ini," katanya.

Mohamed Azahari berkata, QSR Brands menyasarkan untuk membuka 23 restoran KFC pada tahun ini dan restoran KFC Bandar Sri Sendayan adalah restoran KFC ke-21.

Katanya, dua lagi restoran KFC yang akan dibuka termasuk di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pada 20 September ini.

Sementara itu, Lee berkata MCHB berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan QSR Brands untuk pembukaan restoran KFC di Bandar Sri Sendayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 6:06 PM