MENTERIHal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
MENTERIHal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin


KHAZANAH Nasional Bhd (Khazanah) masih meninjau pemilihan rakan strategik untuk Malaysia Airlines Bhd sebelum keputusan berkenaan dapat dicapai dan dimuktamadkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi serta ahli Lembaga Pengarah Khazanah bersetuju untuk meneruskan tinjauan bagi memilih rakan strategik syarikat penerbangan negara itu.

Beliau berkata, pihak lembaga pengarah bersetuju bahawa Khazanah perlu melihat pilihan lain sebelum keputusan akhir mengenai perkara ini dapat dicapai.

“Kami telah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah pada 17 Disember lalu dan perkara ini turut dibincangkan.

“Bagaimanapun, cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat terbabit tidak cukup menarik bagi kami (Khazanah) untuk membuat keputusan.

“Oleh itu, Dr Mahathir dan lembaga pengarah bersetuju bahawa kita perlu melihat pilihan lain sebelum kita boleh membuat keputusan akhir mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan bertajuk ‘Pengagihan Kekayaan - Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan pemilihan rakan strategik untuk Malaysia Airlines yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya tidak melihat usaha untuk mencari rakan strategik untuk Malaysia Airlines dapat diselesaikan pada tahun ini.

"Kita hanya mempunyai beberapa hari sebelum berakhirnya tahun ini.

“Saya tidak fikir ia dapat dimuktamadkan pada hujung tahun ini kerana sudah tentu kita memerlukan lebih banyak perbincangan mengenai ini kerana kami menerima beberapa cadangan lain untuk menjadi rakan strategik bagi Malaysia Airlines.

“Cadangan baharu ini diterima dari syarikat penerbangan serantau dan antarabangsa serta turut membabitkan pelabur institusi,” katanya.

Khazanah percaya Malaysia Airlines masih mempunyai nilai intrinsik dan menyasar untuk mendapatkan perkongsian yang tepat untuk merealisasikan nilai syarikat penerbangan negara itu.

Sebelum ini dilaporkan Khazanah sudah menyuntik kira-kira RM800 juta ke dalam Malaysia Airlines melalui syarikat pegangannya, Malaysia Aviation Group Bhd.

Sayap pelaburan kerajaan itu juga dikatakan sudah menerima cadangan daripada lebih 20 pihak bagi tujuan pengambilalihan syarikat penerbangan nasional itu.

Malah, Mohamed Azmin pada Oktober lalu berkata, Khazanah telah menyenarai pendek empat calon sebagai rakan strategik buat Malaysia Airlines.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 2:27 PM