Oleh Che Wan Badrul Alias


KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki keupayaan untuk menerbitkan hutang bagi menyokong program pembangunannya seperti mana yang bakal dimanfaatkan daripada bon Samurai Kedua.

Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia) bagi Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan, Dr Richard Record, berkata pihaknya menjangkakan rancangan Malaysia menerbitkan bon Samurai kedua pada tahun depan akan meningkatkan hutang kerajaan Persekutuan namun masih terkawal di bawah had siling hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walaupun dengan penerbitan hutang baharu itu, Bank Dunia yakin Malaysia mampu mengekalkan hutang kerajaan Persekutuan di bawah 55 peratus daripada KDNK berdasarkan usaha kerajaan mengembangkan pendapatan dan perbelanjaan bagi menjamin profil hutang negara lebih mampan.

“Berdasarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia edisi ke-21, hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan meningkat bagi suku kedua 2019 pada kadar 52.7 peratus daripada KDNK berbanding 51.2 peratus pada 2018 dan 50.1 peratus 2017.

“Namun ia masih terkawal kerana sebahagian besar hutang kerajaan dalam mata wang ringgit sendiri iaitu 96.3 peratus, selain tempoh matang masih panjang memberikan ruang fiskal untuk Malaysia menahan kejutan pada masa depan,” katanya selepas pelancaran laporan ekonomi itu di sini, semalam.

Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia edisi ke-21 mendedahkan isu yang memerlukan perhatian serius kerajaan termasuk kuasa membeli di setiap negeri, masalah perancangan kewangan rakyat, hutang isi rumah dan paling kritikal isu kediaman tidak mampu milik sebagai faktor utama menjejaskan kos hidup rakyat.

Bagi bon Samurai kedua, Malaysia ditawarkan penerbitan bon dijamin kerajaan Jepun melalui Japan Bank for International Corporation dalam dominasi mata wang yen dan kadar faedah lebih rendah iaitu 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus diperoleh bagi bon Samurai pertama sebelum ini.

Bon kedua itu sekali lagi dijamin kerajaan Jepun melalui Japan Bank for International Corporation.

Sementara itu, Richard berkata, kedudukan mata wang ringgit yang lemah membantu Malaysia berada dalam kedudukan berdaya saing untuk pasaran eksport berbanding negara lain yang kini bimbang mata wang mereka terlalu kukuh dan tidak membantu untuk persaingan eksport.

Justeru, katanya, tidak semestinya kelemahan ringgit adalah sesuatu yang teruk untuk negara khususnya ketika pasaran eksport kini dalam tekanan dan permintaan global lemah.

“Apabila ringgit lemah memang meningkatkan kos import Malaysia, namun jika diperincikan peratusan Malaysia mengimport barang dan perkhidmatan masih sangat rendah, berbanding negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:16 AM