CHEAH (tiga dari kiri) pada majlis pengumuman tiga penyewa utama bagi Vivo Signature Retail. FOTO Syarafiq Abd Samad
CHEAH (tiga dari kiri) pada majlis pengumuman tiga penyewa utama bagi Vivo Signature Retail. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sofyan Rizal Ishak


MRCB Land Sdn Bhd (MRCB Land) mencatatkan penjualan lebih 90 peratus untuk unit kediaman dan SOHO bagi projek Vivo yang juga sebahagian fasa pertama pembangunan induk bercampurnya iaitu 9 Seputeh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raymond Cheah berkata, Vivo adalah pembangunan bercampur membabitkan pembinaan sebanyak 1,111 unit terdiri daripada unit kediaman iaitu sebanyak 824 unit dan SOHO (287 unit) di samping unit runcit, Vivo Signature Retail (49 unit).

“Untuk unit kediaman dan SOHO, kami menerima sambutan yang menggalakkan sejak ia mula dilancarkan pada 2014 dan kami yakin semua unit ini akan habis dijual berikutan situasi positif ini,” katanya pada majlis pengumuman tiga penyewa utama bagi Vivo Signature Retail di sini.

Vivo terdiri daripada empat menara iaitu Menara A dan B yang memiliki sebanyak 412 unit kediaman dengan keluasan bermula 1,238 hingga 2,593 kaki persegi dan ditawarkan pada harga bermula RM910,800.

Dua menara lagi iaitu Menara C dan D pula menawarkan 412 unit kediaman pada keluasan yang sama, namun ditawarkan pada harga bermula RM1.04 juta manakala unit SOHO hanya 287 unit ditawarkan dengan keluasan bermula 484 hingga 1,334 kaki persegi.

Beliau berkata, nisbah pemilikan bagi unit kediaman Vivo adalah 80 peratus warga tempatan dan 20 peratus warga asing dengan sebanyak 600 hingga 700 unit kediaman sudah mula diserahkan kepada pemilik.

“Projek Vivo yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.2 bilion ini adalah pemangkin kepada projek 9 Seputeh yang bakal siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun bermula dari pelancaran Vivo pada 2014,” katanya.

Projek 9 Seputeh dibangunkan atas tanah berkeluasan 7.04 hektar dengan GDV keseluruhan RM2.5 bilion di mana ia terdiri daripada empat fasa iaitu Vivo (pembangunan bercampur), Tria (kediaman) dan dua fasa yang sedang dirancang membabitkan pembinaan pusat perubatan, pendidikan dan pejabat.

Sementara itu, MRCB Land mengumumkan tiga penyewa utama bagi Vivo Signature Retail iaitu sekolah antarabangsa Campus Ranger, rangkaian pasar raya SKM Market dan platform perkongsian kediaman iaitu SubHome.

Cheah berkata, ketiga-tiga penyewa utama itu mewakili keluasan lebih 90,000 kaki persegi daripada ruang keseluruhan 280,000 kaki persegi yang boleh disewa bagi unit Vivo.

“Setakat ini, kami tidak bercadang untuk menjual sebarang unit runcit ini dan pada ketika ini, kami sedang mengenal pasti beberapa lagi penyewa berpotensi sebelum Vivo Signature Retail ini beroperasi sepenuhnya dalam suku pertama atau kedua tahun depan.

“Apabila semua unit sewa ini penuh, kami boleh menjana keuntungan hampir RM500,000 setiap bulan atau RM6 juta hingga RM7 juta setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 10:00 AM