AW (tengah) pada sidang media. FOTO SADDAM YUSOFF
AW (tengah) pada sidang media. FOTO SADDAM YUSOFF
Mohd Zaky Zainuddin


UNIT hartanah dengan tawaran menarik akan menjadi pemangkin jualan kepada pemaju hartanah tempatan di tengah-tengah jangkaan pasaran yang kekal mencabar tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Aw Sei Cheh berkata, unit hartanah yang menawarkan pelbagai kemudahan dengan tawaran harga menarik akan kekal menjadi pilihan pembeli sekali gus menyumbang kepada jualan pada 2020.

“Sejak tiga tahun lalu, pasaran hartanah berdepan cabaran dan saya tidak melihat kemungkinan pasaran akan kembali stabil tahun depan.

“Bagaimanapun, tawaran unit hartanah yang menarik tetap akan menyumbang kepada jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan sesi simbolik menyiapkan struktur binaan bagi unit komersial Gamuda, Quayside Mall dalam projek twentyfive.7 di Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Daerah Kuala Langat, Arpaai Sanat dan Pengurus Besar twentyfive.7, Chu Wai Lune.

Aw berkata, dengan pasaran kekal sederhana tahun depan, ia menjadi masa sesuai kepada pembeli memiliki kediaman memandangkan banyak pilihan yang ditawarkan pemaju hartanah tempatan.

MODEL Quayside Mall. FOTO SADDAM YUSOFF
MODEL Quayside Mall. FOTO SADDAM YUSOFF

“Pembeli memiliki kuasa memilih kediaman yang disukai kerana banyak pilihan yang ada disebabkan pasaran yang kurang memberangsangkan ini. Ini masa sesuai kepada pembeli asli memiliki kediaman mengikut kehendak dan kemahuan mereka,” katanya.

Mengenai Quayside Mall, beliau berkata, kompleks beli-belah dengan keluasan 2.57 hektar di Kota Kemuning, berada di landasan tepat untuk dibuka pada Jun 2020.

Katanya, projek dengan kos pembangunan kasar RM330 juta itu menawarkan dua elemen iaitu komponen runcit dengan 107 unit kedai dan 19 kios membabitkan keluasan kasar 504,539 kaki persegi dan komponen pejabat dikenali Q Tower yang menawarkan ruang 10 tingkat berkeluasan 134,520 kaki persegi.

“Kadar penghunian bagi Quayside Mall kini sudah mencecah 70 peratus dengan penyewa utama yang mengesahkan operasi mereka adalah Jaya Grocer, Mr DIY dan MBO Cinemas,” katanya.

twentyfive.7 adalah projek yang dimajukan Gamuda Land dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.3 bilion berkeluasan 104 hektar dengan pembangunan bercampur.

Dilancarkan pada 2017, pembangunan twentyfive.7 merangkumi kediaman superlink, link Villas, The Amber Residence, Quayside Mall dan The Buzz.ar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 12:15 PM