FOTO Reuters.
FOTO Reuters.
Alzahrin Alias


KUALA LUMPUR: Kumpulan enam usahawan yang diketuai bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab, menyasar tempoh 18 bulan untuk pihaknya membantu kerajaan memulihkan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Sumber yang rapat dengan kumpulan itu berkata, tempoh 18 bulan itu diletakkan sendiri pihak itu kerana merasakan ia tempoh yang sesuai dan tidak mahu mengambil terlalu lama proses pemulihan.

“Tempoh itu adalah janji kumpulan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan mereka baru-baru ini. Jika meletakkan sasaran 12 bulan, ia terlalu singkat manakala 24 bulan pula terlalu panjang.

“Kumpulan itu perlu letakkan sasaran yang jelas dan holistik. Tidak mahu semua pihak tertunggu-tunggu bila pemulihan akan dapat dilaksanakan serta mencatatkan peningkatan pendapatan Malaysia Airlines.

“Ini kerana strategi yang ingin dilaksanakan meningkat dahulu pembabitan pekerja, beri mereka keyakinan dan semangat, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada syarikat dan pemegang saham.

“Produktiviti meningkat, lebih mudah untuk syarikat mencapai sasaran. Lantaran itu tempoh 18 bulan diletakkan bagi meningkatkan kembali keyakinan pekerja, pemegang saham dan rakyat,” katanya.

Sumber itu juga berkata, pihaknya turut meminta tempoh 90 hari bagi mengkaji serta meneliti masalah sebenar merangkumi soal kewangan, teknikal, operasi dan aset dalam Malaysia Airlines.

Namun katanya, tempoh kajian itu juga bergantung kepada kerajaan dan pihaknya sedia menerima jika kerajaan meletakkan tempoh yang kurang atau lebih.

Selepas itu katanya, kumpulan usahawan itu akan mengemukakan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang mereka dalam pemulihan berdasarkan permasalahan yang dihadapi Malaysia Airlines.

Mengenai masalah utama yang bakal dihadapi pihaknya kelak jika pengambilalihan itu terlaksana, sumber berkata, isu utama dalam Malaysia Airlines ketika ini adalah krisis kepemimpinan.

“Krisis kepemimpinan masalah utama Malaysia Airlines ketika ini yang sekali gus menjejaskan produktiviti pekerja. Perkara ini tidak sukar untuk dipulihkan kerana berdasarkan kepimpinan Pahamin, saya percaya ia dapat diselesaikan.

“Kakitangan perlu diletakkan di kedudukan yang wajar dan bila pekerja selesa dan gembira, ia akan menyeimbangkan lagi operasi Malaysia Airlines.

“Malah turut diperkatakan dalam pertemuan mereka dengan Perdana Menteri baru-baru ini, mereka menjanjikan tiada pembuangan pekerja Malaysia Airlines. Perkara itu tidak akan berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:10 AM