MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad membacakan doa sebelum pesawat MH8216 berlepas.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad membacakan doa sebelum pesawat MH8216 berlepas.

Kuala Lumpur: Amal, sayap perkhidmatan penerbangan untuk jemaah umrah dan haji oleh Malaysia Airlines menyambung semula perkhidmatan ke Tanah Suci semalam selepas terhenti selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Kumpulan jemaah umrah pertama ke Arab Saudi melalui penerbangan MH8216 bermula semalam dan ia diteruskan dengan lapan penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah.

Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor berkata, penyambungan semula laluan ke Tanah Suci ini memberi makna besar buat seluruh operasi Malaysia Airlines.

"Ini hari bermakna buat kami selepas sempadan antarabangsa ditutup lebih 20 bulan akibat pandemik.

"Permintaan terhadap penerbangan untuk umrah sentiasa ada apabila penerbangan ini mencapai hampir 100 peratus muatan.

"Kami jangka permintaan terus meningkat selepas ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, menjelang Mei tahun depan, pihaknya menyasarkan untuk membawa sehingga 75,000 penumpang.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi semasa Covid-19," katanya.

Katanya, kru penerbangan sentiasa memastikan keselamatan penumpang khususnya membabitkan protokol kesihatan.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah menggunakan pesawat Airbus A330.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:03 AM