JUALAN telefon pintar Huawei terus melonjak tinggi di China.
JUALAN telefon pintar Huawei terus melonjak tinggi di China.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Jualan telefon pintar Huawei terus melonjak tinggi di China dan angka itu dilihat berkembang lebih pantas berbanding penjualannya sebelum ini meskipun gergasi telekomunikasi itu ketika ini dilanda krisis dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Huawei Central, TMall, peruncit atas talian di China menunjukkan dari 18 hingga 20 Mei lalu, pihaknya menghantar unit telefon pintar Huawei melebihi dari senarai telefon mudah alih domestik yang lain.

Katanya, peruncit itu merekodkan kadar pertumbuhan sebanyak 130 peratus dari segi penghantaran dan jumlah itu melepasi purata 30 peratus pertumbuhan dalam industri telefon pintar negara itu.

Meskipun pasaran luar dari China kebanyakannya mula menggantung dan memutuskan urus niaga bersama Huawei, namun pasaran tempatan negara itu dilihat memainkan peranan penting dalam menyokong Huawei dan membantu mengurangkan kerugian semasa yang disebabkan oleh sekatan dari AS.

Sementara itu, pengguna telefon pintar Huawei P20 mungkin sedikit kecewa disebabkan peranti pintar itu kini hanya bernilai sekitar 50 Pound Sterling atau AS$60 (RM251) bagi program tukar beli di United Kingdom (UK) dan di kebanyakan negara lain.

Syarikat telekomunikasi di UK hanya menawarkan 50 Pound Sterling berbanding 270 Pound Sterling (RM1,438) bagi program pertukaran Huawei P20 Pro berbanding Samsung Galaxy S9+ yang ketika ini berharga 245 Pound Sterling (RM1,305).

Harga sebenar Huawei P20 Pro di UK sebelum ini adalah 529 Pound Sterling (RM2,817).

Perbezaan ketara bagi harga program tukar beli itu juga adalah kesan dari ketidaktentuan yang disebabkan oleh sekatan perkhidmatan Google yang dikenakan ke atas peranti Huawei pada awal minggu lalu.

Apa yang menjadi kebimbangan peruncit telefon pintar adalah sama ada telefon pintar Huawei boleh menggunakan perkhidmatan Google selepas tempoh pengecualian sekatan selama 90 hari itu.

Selain itu, syarikat telekomunikasi dan peruncit tempatan seluruh dunia turut dikatakan sudah menghentikan penjualan telefon pintar baharu Huawei dengan menggunakan alasan sama dan menunggu penyelesaian bagi hal terbabit.

Dalam pada itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Ren Zhengfei berkata, Huawei sudah bersedia dengan kemelut yang berlaku ketika ini bersama AS kerana syarikat itu kini adalah gergasi teknologi global.

Malah, beliau turut menolak kebimbangan mengenai sekatan oleh pentadbiran Trump itu akan mempunyai kesan destruktif kepada operasi dan keuntungan syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:59 AM