GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nabil Basaruddin


HUAWEI Central, portal khas bagi maklumat mengenai Huawei mengesahkan sistem operasi baharu bagi gergasi telekomunikasi itu, Hongmeng bakal dilancarkan pada musim luruh ini iaitu sekitar September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pengguna Huawei, Yu Chendong dipetik sebagai berkata, sistem operasi yang pertama kali dibangunkan oleh syarikat itu akan dilancarkan paling awal pada musim luruh ini atau tidak lewat dari musim bunga tahun depan.

Lebih menarik lagi, sistem operasi Huawei yang baru itu boleh digunakan pada semua telefon pintar Huawei, tablet, televisyen dan peranti boleh pakai.

Selain itu dalam laporan Huawei Central turut mendedahkan Huawei sudah mempunyai kedai aplikasinya sendiri untuk telefon pintar Huawei dan Honor dikenali sebagai App Gallery dan kini laporan terbaharu mendakwa syarikat itu sedang membangunkan versi Google Play Store miliknya.

Bagaimanapun, perkara itu tertangguh disebabkan oleh sekatan teknologi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Menurut laporan Bloomberg, Huawei telah memberitahu rakan perniagaannya pada penghujung 2018, syarikat itu akan mempunyai kira-kira 50 juta rakyat Eropah yang akan menggunakan versi aplikasinya dan bukan Google.

Malah, syarikat itu juga meminta syarikat telekomunikasi di Eropah untuk menyebarkan kedai aplikasi baharu itu dengan lebih meluas.

Selepas Trump mengenakan sekatan ke atas perniagaan Huawei di negara itu, Google turut mengambil langkah yang sama menambahkan kesukaran kepada Huawei untuk beroperasi.

Tanpa sokongan Google, rancangan kedai aplikasi Huawei dilaporkan turut gagal disebabkan telefon pintar yang dikeluarkan Huawei masih menggunakan sistem operasi Android dan bergantung kepada aplikasi Google untuk menarik pengguna.

Buat masa ini, Huawei masih belum memberikan sebarang maklum balas mengenai perkara ini.

Sementara itu, Pengasas Huawei Technologies Co Ltd, Ren Zhengfei dalam temu bual dengan media China, menegaskan AS memandang rendah keupayaan syarikatnya itu.

Zhengfei berkata, walaupun terdapat percubaan untuk menyukarkan lagi pihaknya menjalankan perniagaan dengan syarikat AS, tetapi ia tidak menghalang perancangan 5G syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 3:16 PM