TAN bersama produk baharu televisyen Samsung QLED 8K.
TAN bersama produk baharu televisyen Samsung QLED 8K.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (Samsung Malaysia) memperkenalkan televisyen pintar terbaharu, Samsung QLED 8K TV bersaiz 98 inci, paling besar pernah dilancarkan gergasi elektronik itu dan dijual pada harga RM299,999 seunit.

Selain ditawarkan pada saiz 98 inci, QLED 8K TV juga boleh didapati pada saiz 82 inci dan dijual pada harga RM99,999 seunit manakala untuk saiz 75 inci pula dengan harga RM59,999.

Pengarah Perniagaan Elektronik Pengguna Samsung Malaysia, Jimmy Tan Chee Wee berkata, model baharu dengan skrin 8K itu menawarkan pengalaman tontonan yang lebih jelas dan berkualiti serta memberi dimensi baharu kepada segmen televisyen.

Katanya, antara kelebihan QLED 8K TV itu ia dilengkapi Pemproses Kuantum, gambar yang dijanakan dengan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor pemprosesan bunyi untuk pengalaman hiburan yang lebih baik.

“Samsung menjadi peneraju global dalam segmen produk televisyen dalam tempoh 13 tahun ini dan sentiasa komited untuk menyampaikan produk berkualiti dan berinovasi tinggi kepada pengguna.

“Memahami kehendak dan keperluan pengguna, kami memperkenalkan QLED 8K TV yang memberi era baharu kepada dunia televisyen dengan paparan lebih jelas dan besar melalui skrin 98 inci.

“Model ini juga dilengkapi teknologi Sudut Pandangan Ultra yang akan membantu menghasilkan gambar dari setiap sudut dengan lebih baik tanpa silauan dan pantulan cahaya pada waktu siang,” katanya pada majlis pelancaran QLED 8K TV di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Unit Perniagaan Audio Visual Samsung Malaysia, SungHwan Joo dan Ketua Unit Audio Visual Samsung Malaysia, Vincent Lee Chin Chong.

Produk utama dalam rangkaian QLED termasuklah televisyen 8K dan 4K seperti 8K Q900R yang ditawarkan dalam saiz antara 65 hingga 98 inci serta model 4K Q90R, Q75R dan Q60R dari saiz 49 hingga 82 inci.

Rangkaian model QLED kini mempunyai lebih daripada 20 model dan ia termasuklah model dengan skrin besar.

Sempena pelancaran QLED 8K TV itu, Samsung mengadakan program jelajah di pusat beli-belah Mid Valley pada 8 hingga 12 Mei ini yang menyediakan pelbagai tawaran dan promosi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 7:17 AM