SAMSUNG lancar televisyen 8K.
SAMSUNG lancar televisyen 8K.
Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT elektronik gergasi, Samsung mengumumkan kehadiran produk baru dalam segmen televisyen menerusi teknologi ‘Quantum LED’ 8K televisyen pintar.

Model QA900R dilengkapi dengan pemproses Quantum 8K, teknologi berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) yang memberikan resolusi paparan yang terperinci serta jelas dan bunyi lebih baik.

Samsung menjelaskan bahawa resolusi 8K adalah resolusi ‘super tinggi’ dengan empat kali lebih tinggi daripada resolusi 4K Definisi Ultra Tinggi (UHD) dan 16 kali lebih tinggi daripada Definisi Penuh (FHD).

TV QLED 8K dilengkapi resolusi 33 juta pixel berbanding dua juta pixel pada FHD sekali gus mampu menghasilkan kualiti gambar realiti.

Ketua Elektronik Konsumer, Samsung Electronics Malaysia Jimmy Tan berkata, TV QLED 8K yang baharu dibuat untuk pengguna yang ingin melihat kandungan pada skrin lebih besar dengan resolusi lebih baik.

Beliau berkata, sejak 2015, semakin ramai pengguna belajar ke arah skrin TV dengan saiz yang lebih besar dan Samsung mahu mengutamakan kepada kepuasan pengguna.

“Kami menjangkakan permintaan akan meningkat untuk saiz televisyen 65 inci sehingga 75 inci termasuk televisyen resolusi yang lebih besar.

“Apabila kita melihat permintaan untuk televisyen bersaiz besar ini meningkat, perlu juga untuk menambah baik kualiti skrin paparan dan untuk itu, kita melancarkan resolusi 8K yang memberikan kualiti mengagumkan.

“Kami menyaksikan trend ini beberapa tahun lalu, apabila televisyen 4K ultra tinggi diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada 2015, ia hanya menyumbang enam peratus daripada jumlah jualan televisyen.

“Hari ini, jumlah itu melonjak dengan ketara apabila kini 65 peratus jualan televisyen keseluruhan dan memerlukan untuk resolusi yang lebih baik,” katanya.

Samsung mengambil inisiatif untuk melancarkan segmen televisyen 8K walaupun masih kurang kandungan untuk resolusi berkenaan.

Samsung akan meneruskan segmen televisyen dengan model QA900R dilengkapi dengan teknologi ‘UPI upscaling’ dan ciri ini dilaporkan boleh menukar kandungan dalam Definisi Standard (SD), FHD dan UHD ke dalam resolusi 8K.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:10 PM