NORITA  bersama Ketua Penjenamaan Prestige Sports Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin di  butik pakaian dan kasut sukan Prestige Sports.
NORITA bersama Ketua Penjenamaan Prestige Sports Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin di butik pakaian dan kasut sukan Prestige Sports.
Sri Ayu Kartika Amri

PETALING Jaya: Prestige Sports Sdn Bhd optimis mencapai pertumbuhan jualan antara lapan hingga 10 peratus tahun ini biarpun berdepan dengan persekitaran ekonomi mencabar.

Pengurus Besarnya, Norita Mohd Noor berkata, tahun lalu industri peruncitan mengalami pertumbuhan negatif namun Prestige Sports berjaya mengekalkan momentum yang membanggakan serta merekodkan peningkatan jualan.

Menurutnya, jualan Prestige Sports kebanyakannya disumbangkan jenama Asics iaitu 60 peratus.

“Prestige Sports adalah pengedar utama bagi empat jenama utama iaitu Asics, Lotto, TeVa dan Caterburry.

“Tahun ini, kami memberi fokus terhadap jenama Lotto berikutan Prestige Sports mendapat lesen daripada Lotto Itali bagi membolehkan kami mengeluarkan produk sendiri,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, Prestige Sports akan membuka dua butik Lotto baharu iaitu di I-City (Shah Alam) dan di luar Lembah Klang bagi tahun ini.

Norita berkata, pihaknya juga memperuntukkan antara lima hingga 10 peratus pada setiap tahun daripada perolehan syarikat bagi tujuan promosi dan pemasaran.

Beliau berkata, Prestige Sports sentiasa menjaga kualiti produk dan menampilkan model baharu bagi setiap jenama edarannya.

“Kami sangat berterima kasih dengan rakyat Malaysia yang selama ini menyokong Prestige Sport dan mempercayai jenama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:16 AM