AS akur terpaksa gantung Boeing 737 MAX. FOTO/AFP
AS akur terpaksa gantung Boeing 737 MAX. FOTO/AFP
Agensi

Washington: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menggantung perkhidmatan pesawat jenis Boeing 737 MAX atas faktor keselamatan sekali gus menyebabkan pembuat kapal terbang terbesar dunia itu berdepan krisis terburuk dalam tempoh beberapa bulan.

AS akhirnya mengikut langkah beberapa negara yang mengharamkan pesawat jenis berkenaan beroperasi di ruang udara masing-masing susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad lalu dan membunuh semua 157 penumpang.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) membuat pengumuman itu beberapa minit selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan kecemasan untuk menggantung semua pesawat Boeing 737 MAX 8 dan MAX 9 di negara itu.

FAA berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bukti yang dikumpul di tapak nahas Ethiopia Airlines berhampiran Addis Ababa dan juga data terbaru satelit.

Nahas berkenaan adalah yang kedua membabitkan pesawat model MAX 8 buatan firma penerbangan gergasi AS itu dalam tempoh enam bulan.

Pada Oktober lalu model yang sama yang digunakan syarikat Lion Air terhempas di lautan menyebabkan semua 189 penumpang terbunuh.

Kedua-dua pesawat itu terhempas tidak lama selepas berlepas sekali gus menimbulkan keraguan mengenai sistem kawal kapal terbang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:44 AM