(Dari kiri) Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Pengguna Capital A, Maryanna Kim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam; Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan, Kesavan Sivanandam,  dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes pada majlis pelancaran Ask Bo.
(Dari kiri) Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Pengguna Capital A, Maryanna Kim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam; Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan, Kesavan Sivanandam, dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes pada majlis pelancaran Ask Bo.
BERNAMA

Sepang: Syarikat induk AirAsia, Capital A Bhd telah menyatakan hasrat untuk beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang pada masa terdekat dengan jenis penumpang baharu disasarkan di lapangan terbang itu seiring dengan cadangan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tony Fernandes berkata AirAsia Aviation Group telah memohon bilangan penerbangan tertentu untuk beroperasi di LTSAAS dan penumpang sasaran adalah berbeza dengan mengambil kira pertumbuhan kumpulan itu.

"100 peratus dijamin bahawa kami akan berada di sana dan saya fikir ia adalah satu langkah yang berpandangan jauh," katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan pembantu secara maya "Ask Bo" di sini, hari ini.

Beliau berkata inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk mengubah LTSAAS menjadi hab penerbangan serantau melalui SARP dicadangkan adalah keputusan yang sangat berani dan tepat untuk industri penerbangan di Malaysia.

"LTSAAS, lapangan terbang yang ada nilai sentimental kepada saya dan saya selalu berkata ia adalah satu pembaziran aset...bandar besar seperti Kuala Lumpur sepatutnya mempunyai lapangan terbang seperti ini," katanya.

Pada Isnin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa SARP yang dicadangkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd telah diluluskan oleh Kabinet pada 2 Februari selepas pertimbangan teliti.

Antara perubahan utama yang dicadangkan dalam pelan itu ialah pengenalan semula penerbangan penumpang berjadual dan penerbangan kargo dengan menggunakan jet sehingga saiz A320/B737 atau pesawat setara di LTSAAS atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.

LTSAAS akan diubah menjadi hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum untuk menampung sebanyak lapan juta penumpang secara tahunan selain menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, Tony berkata beliau juga berharap China menghapuskan keperluan untuk ujian RT-PCR Covid-19 tidak lama lagi selepas pembukaan semula pintu sempadan baru-baru ini, ia akan membantu kumpulan itu kerana permintaan melonjak sejak tiga hari lepas.

"Faktor pendorong lain dari China ialah logistik termasuk kargo, e-dagang dan kurier kos rendah," katanya.

Berdasarkan laporan berita antarabangsa, AirAsia merancang untuk memajak 15 pesawat tambahan untuk memenuhi permintaan perjalanan dari China selepas ia membuka semula sempadannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 4:21 PM