KYLE (kiri) melancarkan Ombak Water Purifier di Sunway Lagoon, semalam. FOTO Syarafiq Abd Samad
KYLE (kiri) melancarkan Ombak Water Purifier di Sunway Lagoon, semalam. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pakar penjagaan air dan udara, Coway menyasarkan untuk mencapai dua juta pelanggan merentasi pasaran Asia Tenggara pada 2019, sekali gus memenuhi misi dalam memastikan setiap individu menikmati gaya hidup lebih baik.

Pengarah Urusan Coway (M) Sdn Bhd (Coway Malaysia), Kyle Choi Ki Ryong berkata, pada tahun ini syarikat merancang memperkenalkan beberapa model baharu dan mengembangkan perniagaan menjangkaui produk penjagaan air.

Malah, katanya, tahun lalu, Coway Malaysia mencatatkan satu lagi kejayaan apabila mencapai satu juta pelanggan pada pertengahan Disember tahun lalu.

Menurutnya, syarikat itu merekodkan 64 peratus peningkatan dalam pendapatan jualan tahunan dari RM789 juta pada 2017 kepada RM1.29 bilion pada tahun lalu.

“Pencapaian cemerlang ini bersandarkan kepada jualan daripada produk penjagaan air yang menyumbang sebanyak 75 peratus kepada pendapatan keseluruhan syarikat.

“Sebagai pasaran kedua terbesar untuk Coway, rakyat Malaysia terus menjadi penyokong kuat kepada jenama ini dalam tempoh 12 tahun kami berada di Malaysia.

“Oleh itu, kami sentiasa berinovasi, menyesuaikan diri dan menawarkan produk berdasar kepada keperluan penduduk negara ini bagi menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Antara penyumbang kepada prestasi memberangsangkan itu adalah produk penulen air OMBAK, yang direka khusus bagi keperluan rakyat Malaysia malah menerima maklum balas baik sejak pelancarannya pada November tahun lalu.

Beliau berkata, kerja keras oleh pasukan Coway, seperti Coway Ladies (CODYs), juruteknik, unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan jualan berjaya mendapat kepercayaan daripada orang ramai.

“Dipacu oleh tujuan untuk berkhidmat kepada seluruh pengguna Malaysia, setiap seorang dalam pasukan mempunyai peranan dalam membina kepercayaan kepada pelanggan baru dan sedia ada Coway.

“Dalam mendapatkan kepercayaan, ia juga dipacu oleh usaha pasukan jualan kami dalam memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengguna mengenai kepentingan air yang bersih dalam kehidupan,” katanya.

Katanya, 2018 adalah satu tempoh yang cemerlang buat Coway Malaysia yang mana ia adalah bersandarkan kepada sokongan berterusan daripada rakyat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:02 AM