ORANG ramai melihat model terbaru Perodua Aruz yang dilancarkan semalam di Pusat jualan Perodua di Seksyen 15, Shah Alam.
ORANG ramai melihat model terbaru Perodua Aruz yang dilancarkan semalam di Pusat jualan Perodua di Seksyen 15, Shah Alam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Langkah yang dilakukan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk meningkatkan pembelian komponen sebanyak 20 peratus dijangka dapat mengukuhkan kedudukan Kelab Vendor Perodua (KVP).

Pembelian komponen itu adalah RM6 bilion pada tahun ini berbanding RM5 bilion pada tahun lalu meskipun unjuran perkembangan jumlah jualan industri (TIV) hanya 0.21 peratus pada 2019.

Presiden KVP, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, pihaknya menyokong penuh komitmen Perodua untuk meningkatkan pembelian komponen walaupun perkembangan TIV dijangka lebih kecil pada tahun ini.

“Komitmen ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan kami dan berharap dapat berkembang seiring dengan Perodua,” katanya, semalam.

Komitmen yang disuarakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad itu diumumkan pada majlis pelancaran Perodua Aruz.

Zainal Abidin berkata, 95 peratus daripada komponen Perodua Aruz adalah daripada syarikat pembekal tempatan.

Menurutnya, rata-rata ahli KVP terbabit dalam pembangunan model terbaharu daripada Perodua itu dan kini turut membekalkan komponen bagi Perodua Aruz.

Katanya, KVP begitu menghargai bimbingan serta bantuan yang diberikan oleh Perodua kepada 138 anggotanya selama ini.

“Antara bantuan yang dberikan termasuklah penetapan syarat pembayaran yang lebih singkat kepada ahli yang terjejas akibat penurunan pembelian komponen mendadak yang bermula pada 2014,” katanya.

Malah, syarikat itu juga menambah baik kecekapan kewangan pembekal dengan membeli peralatan pembuatan secara terus daripada pengeluar antarabangsa.

“Dengan pembelian ini, pihak pembekal tidak lagi dibebankan hutang daripada institusi kewangan semasa hendak membeli peralatan berkenaan,” katanya.

Selain bantuan kewangan yang diberikan oleh Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan juga memainkan peranan penting dalam membantu pembekal tempatan.

“Baru-baru ini, syarikat berkenaan melantik sekurang-kurangnya dua pembekal tempatan untuk menyertai rantaian bekalan globalnya.

“Daihatsu memberi komitmen untuk meneruskan sokongan terhadap Perodua dan pembekal tempatan, selari dengan visi Perodua untuk mengembangkan jenama di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua pada 2018 menjual 227,243 kenderaan, menguasai 38 peratus daripada TIV dan mencatat kenaikan 11 peratus daripada 204,867 kenderaan yang dijual pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 9:27 AM