ISMAIL Sabri bersama  Zainal Abidin  (kiri) melihat kereta Perodua Alza baharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam.  - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH
ISMAIL Sabri bersama Zainal Abidin (kiri) melihat kereta Perodua Alza baharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KERAJAAN menyedari kepentingan potensi industri automotif terhadap ekonomi negara selepas negara beransur pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, impak kemajuan industri automotif negara dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing.

"Saya difahamkan ada seramai 11,500 pekerja tempatan di Perodua terdiri daripada operator hingga ke tahap pengurusan.

"Selain itu, syarikat automotif nasional juga bertanggungjawab memajukan industri melalui pelaburan lestari dan pada masa sama berusaha untuk meningkatkan kebolehan syarikat tempatan dari sudut kualiti, teknologi dan produktiviti.

"Malah, Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

"Keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu," katanya pada majlis pelancaran Perodua Alza serba baharu di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden Daihatsu Motor Co Soichiro Okudaira.

Ismail berkata, beliau difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang sudah menjadi pembekal komponen kepada Daihatsu di Jepun.

Menurutnya, itu satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya negara mengimport komponen dari Jepun, tetapi kini Malaysia yang mengeksport ke Jepun.

Beliau berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan pertumbuhan 17.9 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan tahun lalu.

"Perodua pula menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit, iaitu 30.2 peratus bagi tahun ini berbanding 190,291 kenderaan tahun lalu.

"Saya yakin sasaran terbabit dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang

memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lalu," katanya.

Namun, katanya negara kini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim.

"Kerajaan juga melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran itu namun usaha ini tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

"Justeru, saya ingin menyeru agar syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:01 AM