GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Pahang berharap semua industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai Program MyReskill IoT Wilayah Pantai Timur supaya mereka dapat menggunakan teknologi digital dalam pengurusan operasi perniagaan di samping menerapkan Industri 4.0.

Menurut kenyataan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Jumaat, gesaan itu disuarakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), Datuk Dr Mohd Zakaria Ibrahim ketika merasmikan Hari Produktiviti dan pelancaran Program MyReskill IoT Wilayah Pantai Timur anjuran MPC.

Beliau berkata, penggunaan teknologi memerlukan pekerja berkemahiran tinggi untuk berada di pasaran buruh.

"Oleh itu, perlu untuk mendorong dan menyokong usaha pembelajaran kemahiran tambahan serta kemahiran baharu bagi tenaga kerja sedia ada. Setiap pekerja perlu dipastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran teknologi baharu dan bukannya digantikan oleh teknologi tersebut," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, program tersebut sangat bermanfaat dalam menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti pekerja yang lebih tinggi.

"Semua industri diharap dapat menerapkan digitalisasi dalam usaha meningkatkan daya saing global, produktiviti dan kecekapan," katanya.

MPC menyasarkan 5,000 syarikat PKS di seluruh Malaysia dalam sektor pembuatan, pertanian, dan perkhidmatan untuk menyertai Program MyReskill IoT pada 2022.

Program ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Neksus Produktiviti Elektrik dan Elektronik (EEPN) dengan kerjasama Neksus Produktiviti Jentera dan Peralatan (MEPN) serta Neksus Produktiviti Digital (DPN) yang diwujudkan di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) dalam usaha membantu industri tempatan mempercepat penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti.

Penganjuran Hari Produktiviti antara usaha untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan produktiviti dan kualiti melalui perkongsian amalan terbaik organisasi yang cemerlang.

Acara tersebut diadakan secara dalam talian melalui platform ZOOM Webinar.

Antara objektif program tersebut adalah meningkatkan dan memperkasakan pembudayaan produktiviti dan inovasi melalui digitalisasi serta menggalakkan penyertaan Program MyReskill IoT di Wilayah Pantai Timur.

Syarikat PKS di Pahang yang ingin mengikuti program tersebut boleh mendaftar di https://tinyurl.com/Pendaftaran-IoT-MPC atau menghubungi Pahang Skills, Rashdan Abdul Manaf di talian 09-5673200 atau 012-9387771, e-mel kepada [email protected], atau Pejabat MPC Wilayah Pantai Timur, Mohd Azhar Zainuddin, di talian 09-5131788, e-mel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 2:59 PM