Putrajaya: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap kerajaan akan memberi peruntukan sewajarnya dalam Bajet 2017 kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meningkatkan produktiviti negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan pelbagai usaha dalam mencapai sasaran purata pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.7 peratus menjelang 2020.

“Kita yakin kerajaan akan memberi peruntukan yang munasabah dan memberi tumpuan lebih mendalam kerana ia membabitkan perdagangan dan pengeluaran yang dapat meningkatkan produktiviti negara.

“Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutama swasta memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti negara bagi merealisasikan matlamat mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat dan Bengkel ke-57 Ketua-Ketua Pertubuhan Produktiviti Negara (NPO) di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Malaysia Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) merangkap Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim, Setiausaha Agung APO, Dr Santi Kanoktanaporn dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan dalam bidang yang dapat meningkatkan produktiviti, membolehkan inovasi dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan automasi serta pendigitalan yang dapat meningkatkan kecekapan negara.

“Malah kerajaan juga sedang bekerjasama dengan pakar dan penggerak industri dalam penambahbaikan, inisiatif dan program di peringkat negara melalui Pelan Pembangunan Produktiviti Malaysia (MPB).

“Usaha ini penting bagi pertumbuhan produktiviti masa depan yang bergantung kepada keupayaan tenaga kerja untuk berinovasi dan menggunakan pengetahuan teknologi canggih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:33 AM