ZURAIDA (tiga dari kiri) mendengar penerangan mantan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar (dua dari kiri)  ketika program Malaysia Property Expo MAPEX 2018.
ZURAIDA (tiga dari kiri) mendengar penerangan mantan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar (dua dari kiri) ketika program Malaysia Property Expo MAPEX 2018.
Nurhayati Abllah


KUALA LUMPUR: Harga rumah mampu milik di Malaysia akan diletakkan dalam tiga kategori iaitu RM150,000 dan ke bawah; RM150,000 hingga RM300,000 dan RM300,000 hingga RM500,000.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penetapan harga berkenaan adalah salah satu polisi yang akan ditetapkan dalam Dasar Perumahan Negara.

“Cadangan itu sudah dikemukakan ke peringkat kementerian dan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada pertengahan November ini.

“Penetapan itu adalah antara cara untuk menyeragamkan semua peranan membabitkan lima entiti perumahan rumah mampu milik yang diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, semalam.

Sebelum ini, KPKT memuktamadkan lima agensi perumahan mampu milik diletakkan di bawah kementerian selewat-lewatnya, Disember ini.

Agensi beroperasi secara persendirian itu membabitkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA); Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB); Uda Holdings Bhd, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, penyeragaman agensi berkenaan adalah bagi membolehkan kerajaan menyelaras dan memantau projek perumahan mampu milik pada masa depan.

“Kelima-lima entiti itu akan menyelaraskan projek perumahan mampu milik di negara dalam satu program (sistem) iaitu penyeragaman dalam reka bentuk, harga dan pengurusan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai unit kuota Bumiputera, beliau berkata kerajaan akan meneliti dan mengkaji semula mengenai perkara itu.

“Saya perlu memerlukan masa untuk mengkaji semula dan lihat maklum balas daripada industri serta pembeli rumah. Pada dasarnya kerajaan akan menilai rakyat berdasarkan kemampuan mereka dari segi pendapatan, bukan bangsa,” katanya.

“Jika kita tetapkan rumah mampu milik itu adalah untuk mereka berpendapatan RM3,000 ke bawah, maka kita akan menggunakan garis panduan berkenaan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 4:30 AM