MOHAMMED Shazalli (kiri) bersama Wan Zulkiflee bertukar dokumen persefahaman.
MOHAMMED Shazalli (kiri) bersama Wan Zulkiflee bertukar dokumen persefahaman.
HM Digital

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksanakan lima kluster yang bakal meningkatkan kecemerlangan operasi dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan kedua-dua syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam kenyataan berkata, usahasama itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat bekerjasama untuk meningkatkan penggunaan produk masing-masing.

“Ia dimulakan dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang akan meluaskan perkhidmatan SMARTPay kepada kakitangan TM bagi membolehkan pembayaran tanpa tunai dan meningkatkan kecekapan operasi serta membolehkan TM menjimatkan kos petrol yang ketara setiap tahun.

“Selain itu, PDB dan TM akan membangunkan rangkaian infrastruktur generasi akan datang bagi mempertingkatkan rangkaian perniagaan runcit PDB dan memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan pelanggan di stesen-stesen PDB,” katanya.

Menurutnya, Petronas juga akan berkolaborasi dengan TM, menerusi bahagian teknologi maklumatnya Petronas ICT, bagi menerokai pusat data masa hadapan.

“Ini akan membabitkan digitisasi aset-aset Petronas untuk meningkatkan keselamatan data serta pengalaman pengguna,” katanya pada majlis menandatangani MoU yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

Kerjasama ini membabitkan TM dan PDB, Petronas ICT, KLCC Property dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Wan Zulkiflee berkata, kerjasama ini memperlihatkan Petronas dan TM meneroka konsep taman pintar untuk KLCC.

“Inisiatif ini disasarkan bukan saja untuk meningkatkan pengalaman pengunjung yang menggunakan tempat letak kereta di situ, tetapi juga akan memberikan perlindungan dan keselamatan di fasiliti berkenaan,” katanya.

Katanya, Petronas dan TM juga akan membuat pelaburan bersama dalam kajian yang meliputi bidang membabitkan industri petroleum dan gas serta telekomunikasi, antaranya membina kecekapan tenaga kerja tempatan, perkongsian ilmu dan inisiatif Topi Keselamatan Pintar untuk menggalakkan keselamatan di tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:19 AM