Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan memberi tumpuan kepada segmen runcitnya dengan meningkatkan pengalaman pelanggan yang berkunjung ke stesen minyak kelolaannya selain menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yusof berkata, masih banyak pendekatan yang belum diteroka dalam segmen perniagaan runcit dan pihaknya melihat ia sebagai satu potensi besar untuk terus berkembang.

“Tahun lalu, kami menggunakan tiga pendekatan untuk mengukuhkan prestasi syarikat dan kaedah berkenaan menampakkan hasil positif. Maka, kami akan meneruskan pendekatan sama tahun ini dengan memberikan tumpuan kepada meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) PDB di sini, semalam.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, PDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.1 bilion, meningkat 53 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Tiga strategi yang dilaksanakan tahun lalu ialah mengoptimumkan pengurusan inventori, pengurusan kos efektif dan kecekapan dalam pengedaran serta bekalan.

Ia diperkenalkan pada tahun lalu mengikut situasi harga pasaran minyak semasa dan dilihat masih sesuai diguna pakai walaupun syarikat kini berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak mentah di pasaran global.

Menurutnya, pihaknya akan mempelbagaikan produk ditawarkan di Kedai Mesra selain memastikan kebersihan dan keselesaan tandas serta surau.

“Semua elemen ini adalah penting untuk pelanggan dan kami akan memastikan ia dikekalkan bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya.

Untuk tahun ini, PDB memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM400 juta bagi tujuan pembukaan stesen minyak baru dan kerja penambahbaikan bagi stesen minyak sedia ada serta merancang membuka antara 10 hingga 15 stesen minyak baru di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 6:04 AM