AHMAD Zaini (dua dari kiri) bersama Chung  menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi MGP Cagamas dan penyertaan MBSB menerusi Skim Rumah Pertamaku di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Zaini (dua dari kiri) bersama Chung menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi MGP Cagamas dan penyertaan MBSB menerusi Skim Rumah Pertamaku di Kuala Lumpur, semalam.
Lidiana Rosli

Kuala Lumpur: MBSB Bank Bhd yang baru ditubuhkan menyasarkan untuk menyalurkan sehingga RM6 bilion pembiayaan rumah mampu milik tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, sasaran berkenaan akan mengukuhkan kedudukan bank itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Sebahagian besar portfolio kami sebelum menjadi bank sentiasa mengutamakan pembangunan dan perumahan mampu milik, dan itu tidak akan berubah selepas kami menjadi sebuah bank penuh.

“Setakat ini, MBSB merekodkan pembiayaan rumah mampu milik antara RM5 bilion dan RM6 bilion tahun ini dan ia akan mengukuhkan kedudukan kami untuk tiga tahun akan datang,” katanya.

Sehingga kini, MBSB Bank membiayai RM4.5 bilion projek perumahan mampu milik oleh kerajaan, antaranya Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PP1M) bernilai RM2 bilion, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bernilai RM1.6 bilion dan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bernilai RM900 juta.

Pengambilalihan bank Asia Finance Bank Bhd bulan lalu menjadikannya bank Islam penuh dengan asas yang lebih besar iaitu RM47.81 bilion.

“Dengan status baru ini, kami sedang melancarkan lebih banyak produk patuh syariah pada masa hadapan,” katanya.

MBSB Bank juga memperuntukkan RM250 juta untuk menaik taraf sistem perbankan utamanya dengan melancarkan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) pada suku ketiga tahun ini.

Terdahulu, Ahmad Zaini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas SRP Bhd, Datuk Chung Chee Leong menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi Program Jaminan Mortgage (MGP) Cagamas dan penyertaan MBSB menerusi Skim Rumah Pertamaku.

MBSB Bank akan membiayai jaminan Cagamas untuk ketiga-tiga projek rumah mampu milik yang disokong kerajaan yang kini mempunyai nilai pembangunan kasar kolektif RM9.61 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 12:49 AM