PESAWAT A350-900 XWB selamat mendarat di  KLIA, semalam.
PESAWAT A350-900 XWB selamat mendarat di KLIA, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini berada pada landasan tepat dan yakin Pelan Pemulihan MAS (MRP) untuk tempoh lima tahun mengikut jadual pelaksanaan ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Kapten Izham Ismail berkata, selari dengan pelan pemulihan, tumpuan MAB bukan saja tertumpu kepada keuntungan, tetapi untuk menjadi ikon kebangsaan, bersama-sama menjadi penggerak ekonomi, bon domestik dan penghubung ke seluruh dunia.

“Kami mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan dengan kapasiti 14,000 kakitangan, MAB kini dalam fasa kerja keras kerana kami sedar meskipun masih banyak kekurangan, kami akan terus berusaha sehingga berjaya.

“Satu hari nanti, kami akan pastikan MAB akan membuatkan Malaysia kembali berbangga dengan syarikat penerbangan nasional ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis menyambut ketibaan pesawat A350-900 XWB pertama yang dimiliki MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pesawat Airbus A350 XWB itu secara rasminya diterima oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Malaysia Aviation Goup (MAG) Tan Sri Md Nor Yusof serta Izham.

JOHARI  (tengah) melawat pesawat baru MAB A350-900 XWB yang baru tiba di Kompleks Kejuruteraan MAS KLIA, semalam.
JOHARI (tengah) melawat pesawat baru MAB A350-900 XWB yang baru tiba di Kompleks Kejuruteraan MAS KLIA, semalam.

MAB adalah syarikat penerbangan pertama di rantau Asia untuk menerima pesawat A350 XWB yang mempunyai 286 tempat duduk dan menawarkan tiga jenis kelas tempat duduk yang mempunyai kabin Kelas Pertama.

Izham berkata, ketibaan pesawat terbabit adalah simbol kepada perjalanan baru bagi MAG sebagai usaha untuk melengkapkan proses MRP yang pada asasnya adalah untuk mewujudkan semula kumpulan itu sebagai entiti yang mampan dan cekap.

“Dengan kemodenan teknologi pesawat A350 XWB ini, ia mampu meningkatkan daya saing bagi penerbangan jarak jauh di samping membuktikan komitmen untuk menggunakan pesawat yang baru dan moden,” katanya.

Pembelian pesawat berkenaan dijangka membabitkan kos sekitar AS$200 juta (RM817 juta) hingga AS$300 juta (RM1.23 bilion) dan ia adalah pesawat jenis A350 XWB dengan ciri-ciri dan reka bentuk aerodinamik terkini di dunia.

Pesawat berkenaan akan beroperasi dari Kuala Lumpur ke London bermula 15 Januari 2018. Sebelum itu, pesawat itu akan terbang beberapa siri penerbangan sokongan ke Bangkok, Pulau Pinang dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 3:24 AM