MUHAMMAD Azmi
MUHAMMAD Azmi

Kuala Lumpur: InvestKL, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melancarkan dua projek digital bertumpu kepada usaha menonjolkan Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.

Menurut agensi itu, projek berkenaan sebahagian usaha berterusan pihaknya menarik syarikat multinasional Fortune 500 dan Forbes 2000 selain syarikat berkembang pesat mewujudkan hab serantau dan aktiviti bernilai tinggi di Greater KL.

Katanya, laman web yang baharu direka itu bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna, terutama pelabur asing yang mencari pandangan dan rujukan perniagaan di Greater KL.

"Laman web ini mempunyai reka bentuk moden yang canggih, navigasi dan fungsi lebih baik membolehkan pencarian lancar ke pelbagai sumber pelabur.

"Ia juga mempunyai halaman blog baharu Spotlight Greater KL dan bahagian podcast InvestKL Conversations yang memaparkan perbincangan dengan syarikat multinasional dan pemimpin akademik.

"Selain itu, ia memperkenalkan chatbot bernama Kayla pada fasa seterusnya untuk memberi sokongan berdasarkan nilai dan kemudahan hubungan untuk pelabur semasa dan berpotensi," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, agensi itu berkata, projek kedua adalah pengalaman realiti maya (VR) menerusi kerjasama dengan LokaLocal, penyedia teknologi yang mencipta penyelesaian perniagaan melalui VR dan realiti terimbuh atau augmented reality.

"Dengan satu klik butang, lawatan ini mengemudi pengguna ke tempat tarikan Greater KL seperti River of Life, Merdeka Square dan Monumen Nasional selain pusat perniagaan menarik seperti Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bangsar South dan Cyberjaya, dengan menawarkan pemandangan hebat mengenai pembangunan, kemudahan dan infrastruktur bandar," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pihaknya berusaha memposisikan agensi itu sebagai pemimpin dalam bidang itu yang merangkumi kepentingan transformasi digital.

"Kami pernah bertemu pelabur berpotensi, membina hubungan melalui rangkaian dan pameran perdagangan, namun era baharu ini menuntut kita meningkatkan kesedaran mengenai Greater KL, berhubung dan terbabit dalam dunia maya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:41 AM