MOHAMAD Akmal (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Gassner pada majlis memeterai perjanjian pengurusan kedua-dua pihak di Kuala Lumpur.
MOHAMAD Akmal (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Gassner pada majlis memeterai perjanjian pengurusan kedua-dua pihak di Kuala Lumpur.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Johawaki Holdings Sdn Bhd (JHSB) menandatangani perjanjian pengurusan bersama Marriott International untuk membina Hotel Fairfield by Marriott Kuala Lumpur membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM85 juta.

Perjanjian pengurusan itu bakal menyaksikan JHSB sebagai pemaju pembinaan dan Marriott International sebagai pengendali operasi hotel terbabit yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif JHSB Mohamad Akmal Johari berkata, kerjasama dengan jenama hotel terkemuka itu peluang terbaik syarikat untuk terus menerokai bidang perhotelan lebih meluas pada masa depan.

“Kami berbangga dapat menyumbang kepada perkembangan pantas industri pelancongan di Malaysia melalui pembinaan hotel pertama syarikat ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kontrak pengurusan antara kedua-dua pihak di sini.

Hadir sama Naib Presiden Serantau Pembangunan Hotel Marriott International Peter Gassner.

Hotel Fairfield by Marriott Kuala Lumpur bakal dibina di Jalan Pahang, Kuala Lumpur membabitkan pembinaan bangunan 14 tingkat yang memiliki 188 bilik.

Beliau berkata, pihaknya merancang meneroka bidang perhotelan secara serius melalui pembinaan hotel di tanah simpanan syarikat seluas 20.23 hektar di Seremban, Melaka, Alor Setar dan Langkawi pada masa depan.

Menurutnya, syarikat kini meninjau potensi pembinaan hotel di lokasi terbabit dan pada masa sama meneliti potensi menjalinkan kerjasama dengan jenama hotel di pasaran.

“Kami berharap terus menjalinkan kerjasama dengan Marriott International melalui jenama hotel mereka namun terbuka kepada sebarang kerjasama dengan jenama hotel lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:30 AM