Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) optimis sektor peralatan perubatan berpotensi menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan mengambil langkah tepat dengan memilih 10 syarikat tempatan dalam Program Impak Tinggi (HIP) 5 untuk menembusi pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, inisiatif untuk menghantar 10 syarikat pengeluar peralatan perubatan itu adalah antara usaha dalam menjadikan pemain industri domestik mampu menjadi juara di gelanggang antarabangsa.

Beliau berkata, segmen peralatan perubatan adalah bidang perniagaan yang amat penting dan berpotensi tinggi serta mempunyai kepentingan kepada setiap negara di seluruh dunia.

“Dalam program HIP 5 ini, semuanya mempunyai 19 syarikat pengeluar peralatan perubatan dan bagi Tier 1 hanya 10 syarikat yang betul-betul bersedia, manakala selebihnya akan berada pada Tier 2 untuk diberikan bimbingan dan khidmat nasihat sebaiknya.

“Sebagai permulaan eksport luar negara, 10 syarikat ini akan menumpukan kepada pasaran di Amerika Syarikat (AS) yang mewakili 40 peratus pasaran dunia serta negara Asia Timur dan rantau ASEAN,” katanya pada sidang media selepas berucap pada sesi tertutup bersama syarikat Tier 1 HIP 5, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I SME Corp Rizal Nainy dan Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Ahmad Khairuddin Abdul Rahim.

Pasaran global peralatan perubatan dijangka mencecah sehingga AS$342.9 bilion pada 2021 pada kadar 4.6 peratus bermula dari 2016 ke 2021 yang dipacu perbelanjaan kesihatan, peningkatan kesederaan kesihatan dan populasi yang berusia.

Secara keseluruhannya, bagi rantau ASEAN, Malaysia masih berada di hadapan dari segi saiz pasaran produk peralatan perubatan sebanyak AS$1.4 bilion manakala Thailand berjumlah AS$1.2 bilion dan Vietnam pula AS$781.8 juta.

Sementara itu, Ahmad berkata, menurut Laporan Konsultan Perniagaan Ipsos, Malaysia, Thailand dan Singapura adalah antara negara yang berusaha menjadi hab pelancongan perubatan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 9:29 AM