Wan Nur Ameera Meor Rozman Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Dommal Food Services Sdn Bhd, pengendali dan pemegang francais utama bagi jenama Domino’s Pizza di Malaysia yakin mampu mencapai pertumbuhan jualan sehingga dua digit bagi 2018 didorong oleh pembukaan cawangan baru.

Pengurus Besar Kanan Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman berkata, tahun lalu pihaknya menepati sasaran apabila mencapai pertumbuhan dua digit dengan peningkatan dari aspek jualan sehingga 19 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun depan, kami berhasrat menambah antara 20 hingga 30 cawangan agar rancangan untuk mempunyai 300 cawangan menjelang 2020 dapat dicapai.

“Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor masih menjadi kawasan tumpuan selain bakal mengembangkan perniagaan ke Sabah dan Sarawak dengan membuka lima cawangan di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas pertandingan pembuat piza terpantas Domino’s, semalam.

Mengulas mengenai pertandingan berkenaan, Shamsul berkata, ia diadakan untuk mengiktiraf kepakaran dan kemahiran pengurusan masa pembuat piza Domino’s di peringkat global.

Pada pertandingan itu, Mohd Aiman Md Idros muncul sebagai pemenang dengan catatan masa satu minit 48 saat, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan bakal mewakili Malaysia di peringkat Asia Pasifik pada Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:23 AM
Aksi membuat piza oleh Penolong Pengurus Daerah Cawangan The Weld dan Dang Wangi, Muhamad Firdaus Zainal pada pertandingan membuat piza terpantas Domino's Pizza
Aksi membuat piza oleh Penolong Pengurus Daerah Cawangan The Weld dan Dang Wangi, Muhamad Firdaus Zainal pada pertandingan membuat piza terpantas Domino's Pizza