YAM (tiga dari kiri) dan Zulhikam (dua dari kanan) bersama pemenang peraduan Shop & Drive, Choudhury Soumik (tiga dari kiri).
YAM (tiga dari kiri) dan Zulhikam (dua dari kanan) bersama pemenang peraduan Shop & Drive, Choudhury Soumik (tiga dari kiri).
myMetro

Sepang: Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menerima pembayaran menggunakan Alipay dalam tempoh tiga bulan lagi di rangkaian Eraman di semua lapangan terbang seluruh negara.

Pengurus Besarnya Zulhikam Ahmad berkata, sistem pembayaran berkenaan dijangka memudahkan transaksi khususnya dalam kalangan pelancong dari China.

“Mengikut data direkodkan pada suku pertama tahun ini, pelancong dari China mencatatkan jumlah yang tinggi dengan peningkatan 25 peratus.

“Malah, mereka juga mencatatkan perbelanjaan yang tinggi khususnya untuk produk kosmetik dan wangian,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah bagi pemenang peraduan Eraman Shopping Extravaganza di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Malaysia Airports (Niaga) Datuk Seri Michael Yam.

Menurutnya, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pengendali Alipay dan kini dalam peringkat akhir sebelum persetujuan.

“Kami akan menandatangani perjanjian dalam masa terdekat dan pembayaran menggunakan Alipay dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga tiga bulan ini,” katanya.

Menurutnya, pembayaran menggunakan Alipay dilihat sebagai satu keperluan bagi rakyat China kerana pengguna lebih yakin dengan ciri keselamatannya.

“Kami menjangkakan perolehan Eraman akan meningkat selepas pelaksanaan pembayaran menggunakan Alipay terutama pada waktu puncak kemasukan pelancong China ke Malaysia iaitu sekitar Oktober,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 9:04 AM