IKON Ariani, Datuk Siti Nurhaliza (kanan) dan Duta Ariani, Bella Dally (kiri) melihat koleksi Ariani Luxe bersama Farah Haryani (dua dari kiri) pada majlis perlancaran Ariani Luxe di Wisma Jakel.
IKON Ariani, Datuk Siti Nurhaliza (kanan) dan Duta Ariani, Bella Dally (kiri) melihat koleksi Ariani Luxe bersama Farah Haryani (dua dari kiri) pada majlis perlancaran Ariani Luxe di Wisma Jakel.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd (Ariani), syarikat tekstil terkemuka tempatan merancang membuka tiga lagi cawangan baru bagi jenama terkini Ariani, Ariani Luxe dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Pemasarannya Datin Farah Haryani Muhammad Philips berkata, dua cawangan di Shah Alam dan Bangi bakal dibuka dalam tempoh tujuh bulan akan datang manakala satu lagi cawangan di Senawang akan dibuka pada 2018.

“Secara am, cawangan Ariani Luxe akan dibuka di cawangan Jakel di mana ia memiliki keluasan yang sudah ditetapkan iaitu melebihi 1,000 kaki persegi,” katanya kepada Bisnes Metro pada majlis pelancaran jenama dan cawangan Ariani Luxe pertama.

Ariani Luxe adalah sub-jenama Ariani yang menghimpunkan koleksi hijab premium rekaan pereka berkemahiran dan berpengalaman dengan sentuhan artisan menarik bagi mereka bentuk polar tudung dengan perincian eksklusif.

Koleksi Ariani Luxe adalah definisi baru bagi pelanggan yang menggemari koleksi edisi terhad kerana ia menampilkan rekaan hijab premium dengan gabungan warna terang, jalinan sulaman renda berseni dan sentuhan Swarovski koleksi istimewa.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengeluarkan sebanyak 30 helai tudung eksklusif dengan empat rekaan dan empat warna yang ditawarkan pada harga RM139 untuk permulaan bergantung kepada jenis dan rekaan tudung.

Menurutnya, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran bagi koleksi Ariani Luxe namun yakin ia akan mendapat sambutan kerana menawarkan kualiti fabrik terbaik dengan kombinasi warna, material dan cetakan lebih unik, moden serta elegan.

“Kami tahu ramai individu pada masa kini rela berbelanja lebih untuk koleksi seperti ini, ditambah ia turut menerima sambutan positif daripada pembeli dalam kalangan individu ternama tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 1:48 AM