PESERTA dan pemenang Petrosains Science Show Competition tahun lalu.
PESERTA dan pemenang Petrosains Science Show Competition tahun lalu.
Hamizah Badiran


DALAM usaha mempopularkan sains dan mempromosikan kaedah pembelajaran menarik kepada pelajar, Petrosains menganjurkan Petrosains Science Show Competition 2019.

Tahun ini merupakan tahun yang terakhir pertandingan ini dianjurkan sejak diadakan pada tahun 2009 untuk menyokong agenda pendidikan kebangsaan dalam mempopularkan sains dan mempromosikan kaedah pembelajaran sains yang berkesan untuk para pelajar.

Pemenang pertandingan ini akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan lawatan yang ditaja sepenuhnya ke Seoul, Korea Selatan.

Pada program tahunan itu, penyertaan terdiri daripada individu atau pasukan yang membabitkan dua pelajar dan guru sebagai penasihat.

Pertandingan tahun ini membabitkan dua peringkat iaitu tahap pemilihan dan peringkat akhir. Setiap peserta perlu mempersembahkan pertunjukan sains secara menarik dan kreatif selama 15 minit.

Sepuluh pasukan dari seluruh negara akan berentap pada pertandingan akhir yang akan diadakan pada bulan November seterusnya berpeluang memenangi hadiah utama iaitu lawatan pendidikan

ke Seoul.

Semua 10 finalis yang dipilih diperlukan untuk menyertai bootcamp pada Oktober 2019 sebelum bertarung dalam pertandingan akhir.

Pada peringkat akhir, peserta diminta untuk membentangkan persembahan sains secara kreatif dengan mempamerkan eksperimen atau demonstrasi menggambarkan teori sains yang dipelajari di dalam atau di luar sekolah.

Selain hadiah utama, sekolah yang menghantar penyertaan tertinggi juga akan turut memenangi wang tunai.

Peserta akan diadili panel hakim terpilih dan persembahan dinilai berdasarkan konsep sains, skrip, persembahan pentas, cara penyampaian, penggunaan prop, pakaian dan kesan khas.

Pertandingan itu juga akan disiarkan di televisyen melalui saluran 610 - Astro TVIQ sepanjang bulan Disember 2019. Program itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Bank Islam Malaysia Bhd sebagai rakan kerjasama dan penaja kewangan.

Guru dan pelajar dijemput menyertai Petrosains Science Show Competition 2019 dengan menghantar penyertaan, skrip dan video sebelum tarikh tutup pada 31 Julai ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, layari laman web http://petrosains.com.my/science-showcompetition/.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:30 AM