PEMERIKSAAN akhir terhadap sistem yang dibangunkan oleh sukarelawan REVOLVE sebelum diserahkan kepada pihak sekolah. FOTO NSTP
PEMERIKSAAN akhir terhadap sistem yang dibangunkan oleh sukarelawan REVOLVE sebelum diserahkan kepada pihak sekolah. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah


KESELAMATAN makanan dan urbanisasi ialah isu yang saling berkait apabila memperkatakan berkenaan kelestarian alam sekitar.

Peningkatan jumlah penduduk yang mendadak di kawasan bandar memberi kesan langsung kepada pelbagai aspek sosioekonomi kependudukan, termasuk pembekalan sumber makanan.

Industri penghasilan dan agihan makanan akan membebankan sumber alam jika tidak diuruskan dengan baik.

Pendedahan berkaitan penyelesaian dan peranan untuk menanganinya akan memastikan kemakmuran sesebuah komuniti sekali gus menjamin kelestarian alam sekitarnya untuk jangka masa panjang.

Atas kesedaran itu, sekumpulan 29 sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah mengambil inisiatif untuk berkongsi maklumat berkenaan penyelesaian kepada permasalahan alam sekitar bersama-sama penduduk pekan Chana yang terletak di pedalaman selatan Thailand.

Ketua Delegasi Sukarelawan, Nazmi Nor Kamarul Anuar berkata, kemahiran membangunkan sistem akuaponik diperkenalkan kepada penduduk sebagai penyelesaian kepada permasalahan sumber makanan.

Katanya, perkongsian sistem akuaponik yang dikendali sukarelawan UM itu terbahagi kepada tiga komponen utama, meliputi pembinaan sistem, penjagaan ikan dan penjagaan tanaman.

“Aktiviti perkongsian ilmu diadakan di Sekolah Rendah Agama Tasdikiah yang terletak di pekan Chana, Songkhla, kira-kira 50 kilometer dari bandar Hat Yai.

IKAN TILAPIA dipilih kerana kesesuaian untuk sistem akuaponik. FOTO NSTP
IKAN TILAPIA dipilih kerana kesesuaian untuk sistem akuaponik. FOTO NSTP

“Pembinaan sistem akuaponik di lokasi ini bukan sahaja akan memberi manfaat secara langsung kepada murid sekolah ini, tetapi turut mengambil kira kelebihan kepada guru sains yang bakal menjadi ejen penyebaran ilmu kepada masyarakat setempat,” katanya yang juga mahasiswa tahun kedua Kejuruteraan Bioperubatan itu.

Katanya, dalam projek itu, bekas plastik polipropilena dijadikan rumah ikan dan bekas tanaman yang membabitkan spesies ikan talapia merah, manakala sayuran pula benih tomato serta salad untuk disemai.

“Pemilihan ikan talapia dan tanaman seperti salad kerana mudah didapati selain senang dijaga, kedua-duanya juga didapati cepat membesar dalam waktu yang singkat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Dr Mohd Istajib Mokhtar berkata, mereka menggunakan partikel kecil tanah liat iaitu LECA berbanding tanah atau bahan lain sebagai medium tanaman sistem akuaponik itu kerana kelebihannya yang berongga dan turut berfungsi sebagai penapis air yang dipam dari rumah ikan.

“LECA ialah bebola tanah liat yang terhasil dari proses pembentukan buih ketika fasa pemanasan di dalam relau berputar pada suhu 1,200 darjah Celsius.

NAZMI  dan Dr Mohd Istajib (tengah) semasa sesi pelepasan ikan ke dalam sistem akuponik. FOTO NSTP
NAZMI dan Dr Mohd Istajib (tengah) semasa sesi pelepasan ikan ke dalam sistem akuponik. FOTO NSTP

“Malah LECA boleh dihasilkan dalam pelbagai diameter dan banyak digunakan di dalam penghasilan konkrit, sistem rawatan air dan sistem hidroponik serta akuaponik,” katanya.

Dr Mohd Istajib yakin perkongsian ilmu sistem akuaponik itu bukan sahaja memberi impak jangka pendek kepada murid Sekolah Rendah Agama Tasdikiah, malah kepada masa hadapan masyarakat setempat pekan Chana.

Perkongsian ilmu sistem akuaponik itu sebahagian daripada program kemasyarakatan antarabangsa anjuran sukarelawan UM iaitu Regional Unity and Devotional Adventure’ (REVOLVE) yang diadakan buat pertama kalinya.

Antara pengisian lain program turut menyediakan platform kepada kesukarelawanan mendepani isu perpaduan dan kesamarataan serantau tanpa mengenal batasan bangsa serta agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:08 AM