LADANG akuaponik di belakang rumah.
LADANG akuaponik di belakang rumah.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu menyebabkan ramai dalam kalangan kita sudah mampu menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Kita dapat menguruskan gaya hidup untuk realiti yang kian berbeza sambil mempelajari kemahiran baharu untuk mengisi masa lapang.

Ramai rakyat Malaysia membiasakan diri dengan bekerja di rumah, hanya ke pejabat mengikut giliran apabila diperlukan.

Untuk yang mementingkan kesihatan pemakanan, mereka mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran memasak bagi menjamin kesihatan sambil menjimatkan kos kehidupan.

Malah makin ramai yang mementingkan gaya hidup yang lestari dan lebih sihat selain kini giat memulakan perkebunan akuaponik.

Menurut pengasas Farm2Fork, Dr Richard Ng, kaedah akuaponik sudah berkembang menjadi sesuatu yang popular dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, menerusi kaedah ini pemiliknya dapat menikmati sayur-sayuran yang segar hasil tanaman di halaman rumah sendiri.

"Akuaponik adalah cara pertanian yang 'revolusioner' menggunakan sumber daya minimum untuk menghasilkan tanaman dan sayur-sayuran yang terbaik.

LADANG akuaponik Ng dengan sistem penapisan air.
LADANG akuaponik Ng dengan sistem penapisan air.

"Ia menggabungkan akuakultur menggunakan ikan dan hidroponik yang hasilnya ditanam tanpa tanah," katanya.

Jelasnya, ekosistem perkebunan tanpa tanah ini memberi tumpuan kepada pemberian makanan kepada ikan dan membiarkan hasil buangan mereka memainkan peranan.

"Sisa yang dihasilkan ikan ini akan disaring dan diubah menjadi 'makanan' tanaman yang disalurkan melalui saluran paip ke dalam biji benih agar dapat tumbuh dengan sebaik-baiknya.

"Keperluan utama yang perlu ada untuk memulakan pertanian akuaponik adalah ikan, ruang untuk membina ladang dan penapis air," katanya.

Beliau berkata, keseimbangan ekologi memainkan peranan besar dalam kejayaan ladang akuaponik.

"Beberapa faktor yang menyumbang kepada perkembangan ladang termasuk nisbah ikan dengan air, spesies ikan yang diternak dan suhu ladang," katanya.

Pada masa sama, banyak juga perkara lain yang perlu dipertimbangkan kerana ia perlu saling melengkapi dan seimbang untuk membuahkan hasil yang signifikan.

NG memeriksa menara sayurnya di ladang akuaponik
NG memeriksa menara sayurnya di ladang akuaponik

"Penapis air yang kita gunakan juga mampu mendatangkan perbezaan. Tanpa sistem penapisan yang betul, peredaran yang berlaku antara air, tanaman dan ikan tidak akan berfungsi dengan baik," katanya.

Beliau berkata, pentingnya penggunaan produk dan peralatan yang mesra alam dan pada masa sama tidak menambahkan kos berlebihan.

"Idea utama pertanian akuaponik adalah manfaat persekitaran dan sosial bagi masyarakat. Kami berpegang pada etos itu untuk terus kekal mampan.

"Walaupun pelaburan keseluruhannya kelihatan besar pada awalnya, ada banyak sebab mengapa pulangan daripada pelaburan ini bermanfaat bukan hanya untuk kesihatan, tetapi juga untuk persekitaran," katanya.

Jelasnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan, aktiviti pertanian ini boleh diusahakan di rumah bersama keluarga.

SEBAHAGIAN anak benih sayur yang mula membesar di ladang akuaponik.
SEBAHAGIAN anak benih sayur yang mula membesar di ladang akuaponik.

"Ia mudah dikendalikan dan sememangnya mesra alam.

"Akuaponik boleh dijadikan penyelesaian membantu meningkatkan kesihatan seisi keluarga kerana mengamalkan pengambilan sayur-sayuran segar.

Beliau turut menyenaraikan empat manfaat kaedah pertanian akuaponik:

1. Hasil tanaman yang

dimakan membawa lebih banyak faedah kesihatan

Akuaponik adalah kaedah pertanian tanpa tanah yang tidak menggunakan racun perosak atau baja kimia. Pertanian akuaponik bergantung pada ikan dan kitaran ekosistem. Ini bermaksud racun perosak dan baja kimia tidak sesuai untuk kaedah pertanian ini kerana ia akan membahayakan ikan lalu mempengaruhi ekosistem secara negatif. Kaedah ini boleh dikatakan 100 peratus selamat kerana ia hanya memanfaatkan sisa ikan yang dihasilkan daripada pemakanan berkualiti.

2. Mudah dijaga

Tanaman akuaponik tidak memerlukan siraman air secara konsisten dan disebabkan ia tidak menggunakan tanah, anda tidak perlu mencabut rumpai. Bagi pertanian akuaponik, anda tidak perlu khuatir kekerapan siraman air atau keperluan tanah. Namun pengetahuan mengenai asas pertanian, seperti keluasan ladang dan jumlah ikan memainkan peranan penting dalam mengembangkan ladang akuaponik yang berjaya serta mampan.

JUMLAH ikan perlu sesuai mengikut ukuran tangki yang memainkan peranan penting dalam pertanian akuaponik.
JUMLAH ikan perlu sesuai mengikut ukuran tangki yang memainkan peranan penting dalam pertanian akuaponik.

3. Menjimatkan ruang tanah

Kaedah pertanian akuaponik yang tidak memerlukan tanah membolehkan sesiapa sahaja memulakan usaha pertanian di halaman rumah mereka. Bagi mereka yang ingin mengkomersialkan hasil tanaman, ruang lebih besar diperlukan dan untuk ini, bangunan terbengkalai juga boleh digunakan. Ini bermaksud kita tidak perlu membina ruang yang khusus untuk pertanian jenis ini kerana penggunaan ruang yang sedia ada sudah mencukupi.

4. Menyelamatkan perairan kita

Akuaponik menggunakan air yang sedikit, namun masih mampu menghasilkan tanaman yang sama dengan pertanian tradisional. Ia menggunakan 10 peratus air berbanding pertanian tradisional kerana nutrien air dikitar semula dalam proses gelung tertutup. Pembaziran tambahan tidak akan wujud kerana ekosistem ini bergantung pada kitaran air yang akan terus berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:20 AM