AKTIVITI bekalkan pengalaman bekerja sebelum masuki industri pekerjaan. FOTO Azhar Ramli
AKTIVITI bekalkan pengalaman bekerja sebelum masuki industri pekerjaan. FOTO Azhar Ramli
Fazurawati Che Lah


KERJA separuh masa atau sambilan bukanlah satu perkara yang asing bagi pelajar universiti pada masa ini.

Rata-rata pelajar ingin mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian.

Ramadan yang baru bermula hari ini sebenarnya turut menarik minat mereka untuk bekerja sambilan dengan pelbagai bentuk aktiviti jualan diadakan.

Tambahan pula, kuliah ‘diperlahankan’ menyebabkan pelajar mempunyai banyak masa terluang dan kebanyakannya diisi dengan mencari kerja sambilan.

Sekali gus membekalkan pengalaman bekerja sebelum memasuki industri pekerjaan yang sebenar.

Pelajar tahun akhir Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farah Nabilah Amindin, 24, bercerita dia sanggup melakukan kerja sambilan sebaik tamat sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MEDIUM media sosial sebagai rujukan untuk cari pekerjaan sambilan.
MEDIUM media sosial sebagai rujukan untuk cari pekerjaan sambilan.

Katanya, pelbagai jenis pekerjaan dilakukan antaranya menjadi pencuci, kerani, pembantu kedai di butik tudung dan guru tuisyen.

Biarpun hanya bekerja dalam tempoh yang singkat, pengalaman dikutip sangat berharga dan bakal dijadikan modal untuk memperoleh pekerjaan sebenar sebaik tamat pengajian.

“Banyak kerja yang saya buat termasuk sebagai sukarelawan sekiranya mempunyai masa terluang. Saya suka mencuba benda baharu, selain ingin mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Farah Nabilah berkata, selain memperoleh wang saku, setiap pekerjaan dilakukan menjadi tambah nilai kepada resumenya.

MAJIKAN sentiasa memberi sokongan kepada pekerja. FOTO Azhar Ramli
MAJIKAN sentiasa memberi sokongan kepada pekerja. FOTO Azhar Ramli

Tidak mahu melepaskan peluang pekerjaan pada Ramadan, Farah Nabilah turut mengambil upah menjadi penyelidik di kampus memandangkan terdapat banyak waktu terluang sebaik tiba bulan mulia itu.

Katanya, pengalaman bekerja membolehkan dia berupaya mengukur kemampuan, minat dan kelemahan yang dimiliki untuk digilap menjadi lebih baik.

“Jujurnya, dulu saya sendiri tak tahu apa minat dan kelemahan saya, tetapi selepas memperoleh banyak pengalaman kerja, saya sudah boleh tahu dan kenal diri sendiri.

“Dari situ, saya dapat meningkatkan kemahiran insaniah terutama dari segi komunikasi dan kepimpinan,” katanya.

Malah dia gembira apabila menemui satu aplikasi mencari kerja sambilan iaitu Hyred. Aplikasi itu banyak membantunya mendapatkan majikan yang menilai kemahiran dimiliki ketika bekerja.

“Lebih membanggakan jika aplikasi itu perlu diperluaskan, supaya semua orang terutama pelajar bersemangat dan bersaing untuk mencari kerja

secara sihat.

BERNIAGA antara kerja sambilan yang sering dilakukan pelajar universiti. FOTO Azhar Ramli
BERNIAGA antara kerja sambilan yang sering dilakukan pelajar universiti. FOTO Azhar Ramli

“Apatah lagi aplikasi itu membolehkan pekerja dinilai majikan berdasarkan kemahiran dan seterusnya dimuatkan ke akaun pengguna pada bahagian lencana kemahiran,” katanya.

Rakannya, Nur Arofah Hassan, 24, penuntut sains politik pula melakukan kerja sambilan kerana mahu meringankan perbelanjaan ayah dan ibunya.

Tidak hanya pada cuti semester, malah kerja sambilan, tetapi turut membabitkan waktu hujung minggu.

“Setakat ini, pengajian saya tidak terjejas. Saya masih mengutamakan pengajian kerana matlamat utama ke menara gading untuk menjadi graduan yang cemerlang.

“Tugasan dan kuliah akan diselesaikan dahulu sebelum menerima tawaran kerja sambilan,” katanya yang melakukan kerja sambilan sejak 2014.

Katanya, dengan melakukan kerja sambilan, dia juga mampu membeli barangan yang diinginkan tanpa menyusahkan ibu dan ayahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:34 AM