PEMBIKINAN animasi untuk filem Mat Gelap pada 1990.
PEMBIKINAN animasi untuk filem Mat Gelap pada 1990.
Fazurawati Che Lah


SECARA amnya, industri kandungan kreatif dan animasi di Malaysia dilihat terus mencatatkan pertumbuhan yang baik di sebalik kelemahan serta ketidaktentuan ekonomi global.

Animasi adalah antara sektor baharu yang berpotensi besar untuk berkembang sejajar dengan perkembangan media elektronik dan teknologi digital.

Melihat potensi yang ada, pelbagai langkah mula dilakukan kerajaan bagi membangunkan sektor itu termasuk menggalakkan syarikat tempatan menceburi bidang multimedia kreatif, terutama animasi.

Hingga kini, dianggarkan lebih 300 syarikat berada di bawah industri kandungan multimedia kreatif Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia yang terbabit dalam bidang animasi.

Pelbagai usaha giat dijalankan untuk membangunkan sektor ini, khususnya dari segi pembangunan sumber manusia selain kemampuan tenaga kerja, kreativiti dan kemahiran untuk kemajuan serta persaingan dalam industri ini.

Dalam konteks ini, pendidikan dan latihan sangat penting dalam membangunkan sektor ini selain tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran dapat dihasilkan.

SEBAHAGIAN watak animasi yang berjaya di Malaysia.
SEBAHAGIAN watak animasi yang berjaya di Malaysia.

Sejajar dengan keperluan itu, satu kajian berkenaan carta bibir mengikut sebutan dan identiti rakyat Malaysia menjadi tumpuan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Animonsta Studios Sdn Bhd menerusi penyelidikan Development of Mouth Chart for Malaysia Animation Industry.

Ketua penyelidik Dr Nur Safinas Albakry berkata, penghasilan gerak mulut untuk animasi dalam negara sebelum ini menggunakan standard antarabangsa seperti Disney kerana tidak mempunyai carta bibir berdasarkan sebutan dan dialek tempatan.

“Sebutan dan percakapan antara negara adalah berbeza termasuk Malaysia. Hasil kajian ini bakal menjadi panduan dan rujukan pihak Animonsta yang terkenal dengan animasi BoBoiBoy dalam menghasilkan karya animasi mereka,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UPSI dengan Animonsta Studios di UPSI, baru-baru ini.

Pada majlis itu, UPSI diwakili oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, manakala Animonsta diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Pengurusan Korporat, Noor Edziani Ahmad Fawzi.

DR Mohammad Shatar dan Noor Edziani ketika menandatangani MoU.
DR Mohammad Shatar dan Noor Edziani ketika menandatangani MoU.

Menerusi penyelidikan itu, Dr Nur Safinas bersama penyelidik lain dan Animonsta akan menjalankan kajian bagi tempoh sembilan bulan untuk membangunkan satu set reka bentuk carta bibir berdasarkan konteks tempatan sebagai rujukan kepada industri kreatif Malaysia.

Dr Nur Safinas berkata, gerak bibir adalah penting bagi penghasilan animasi yang menarik dan berkesan kerana ia perlu seiring dengan mimik muka untuk menggambarkan perasaan terhadap watak.

Sementara itu, Dr Mohammad Shatar, berkata gabungan antara universiti dan pihak industri kini menjadi suatu keperluan untuk memastikan organisasi itu mampu bersaing di peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Kerjasama ini bukan untuk kepentingan pensyarah sahaja, tetapi pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kerjasama ini dapat disalurkan kepada pelajar kerana mereka yang akan dinilai masyarakat serta majikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 11:55 AM