LEWIS Hamilton sah menyertai Ferrari dan meninggalkan Mercedes. FOTO Agensi
LEWIS Hamilton sah menyertai Ferrari dan meninggalkan Mercedes. FOTO Agensi
AFP

Paris: Spekulasi perpindahan Lewis Hamilton ke Ferrari akhirnya terjawab apabila juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali itu mengesahkan akan menyertai Ferrari pada musim depan sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada Mercedes.

Ferrari turut mengesahkan ketibaan pemandu British berusia 39 tahun itu, yang akan bergandingan dengan pemandunya sekarang, Charles Leclerc.

Menerusi satu pengumuman yang dibuat oleh Ferrari di laman sosial pasukan itu, Hamilton akan mula menyertai pasukan pada musim 2025.

"Ferrari dengan sukacita mengumumkan yang Lewis Hamilton akan menyertai pasukan pada tahun 2025, untuk kontrak beberapa tahun," kata Ferrari dalam satu kenyataan.

Terdahulu, spekulasi perpindahan Hamilton tersebar luas namun perkara berkenaan difahamkan sukar kerana kontraknya sehingga 2025 bersama Mercedes.

Bagaimanapun perjanjian itu dilaporkan mengandungi klausa yang membenarkannya meninggalkan pasukan selepas semusim.

Hamilton memenangi gelaran dunia terakhirnya pada 2020 tetapi tewas kejuaraan 2021 kepada Max Verstappen, yang juga 13 tahun lebih muda daripadanya.

Pemandu Red Bull dari Belanda itu terus mendominasi manakala Hamilton menduduki tempat keenam dalam kedudukan pemandu pada 2022 dan ketiga pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 9:39 AM